TUMBUHAN DI DALAM AMALAN BERPANTANG MASYARAKAT MELAYU BAGI IBU YANG BARU BERSALIN
(Koleksi artikel Myherba Egroup)
OLEH : NOR ASIAH BT AMRAN
http://pkukmweb.ukm.my/~ahmad/tugasan/s3_99/n_asiah.html
PENDAHULUAN
Di dalam masyarakat melayu, amalan berpantang amatlah penting untuk menjaga ibu-ibu yang baru bersalin. Orang-orang tua lebih mengutamakan perubatan secara tradisional iaitu menggunakan tumbuhan-tumbuhan sebagai bahan yang utama di dalam segala jenis penyakit. Mereka percaya dan telah menjadi turun temurun sejak dahulu kala lagi dan cara perubatan tradisional ini akan terus kekal sekiranya ada pihak yang mahu mempelajari dan mengajarkan kepada golongan yang bakal menggantikan mereka. Oleh itu, di dalam tugasan ini saya akan memberi beberapa panduan dan kegunaan tumbuhan perubatan tradisional di dalam amalan berpantang bagi ibu-ibu yang baru bersalin, khususnya masyarakat melayu. Di samping itu juga saya ada menerangkan beberapa jenis tumbuhan lain yang sering digunakan untuk mengubati jenis penyakit selain dari amalan berpantang ini iaitu di dalam tips untuk kesihatan.
1. Daun Mewangikan Badan
Daun, kulit kayu dan akar kayu merupakan ramuan penting di dalam perubatan tradisional. Jika di kampung banyak daun kayu, pucuk muda yang digunakan oleh ibu atau nenek kita untuk mewangikan air mandi sewaktu ibu yang di dalam berpantang. Ia juga memberi khasiat kepada badan serta melancarkan perjalanan darah, menghilangkan gatal atau ruam, membersihkan kulit serta menyegarkan badan. Mandian ini elok dilakukan selepas berurut.
Sekiranya masih ada orang tua dalam keluarga yang mengetahui nama dan jenis daun yang digunakan, anak-anak muda, remaja yang bakal menghadapi alam berumahtangga seharusnya membuat catatan ringkas agar ilmu ini tidak lenyap begitu sahaja. Antara daun yang boleh digunakan ialah daun kunyit terus, daun lenggundi, daun secerek, daun pandan wangi, daun lengkuas, daun serai wangi, daun pisang kelat, daun capa, daun inai, daun bonglai daun mengkudu dan sedikit rempah halba.
Cara menyediakannya adalah dengan mengambil semua jenis daun anggaran secekak, basuh sebersih-bersihnya dan dimasukkan ke dalam periuk yang telah diisi dengan air dan direbus sehingga mendidih. Kemudian dimasukkan kedalam besen besar dan dicampur dengan air sejuk untuk dibuat mandi. Daun-daun yang telah direbus tadi juga boleh digunakan sebagai penggosok ke seluruh badan untuk mendapatkan bau dan kesegaran dari daun tersebut. Ketika mandi, cedok air sahaja kerana daun-daun ini masih boleh digunakan untuk mandi pada sebelah petang setelah direbus semula.
2. Jadam Mengecut Perut
Di samping daun-daun ubatan tradisional digunakan untuk mandi, jadam juga mempunyai ciri perubatan tradisional yang begitu penting untuk ibu-ibu yang baru bersalin iaitu untuk mengecutkan perut. Ada pelbagai ramuan untuk mengecutkan perut serta membuang angin di dalam badan sewaktu berbarut. Antara ramuannya adalah seperti kapur, limau atau segenggam jadam, halia sebesar ibu jari, sebuku kunyit, tiga ulas bawang putih, asam jawa, dan air kosong. Bahan-bahan ini ditumbuk dan di masakkan ke atas api sehingga mendidih. Apabila kehangatannya suam-suam kuku, ibu yang bersalin bolehlah menyapu ke perut yang hendak dibarut. Cara ini amat berkesan dan telah di amalkan sejak dahulu lagi turun temurun.
3. Menghasilkan Minyak Urut Yang Sesuai
Urut adalah amalan penting dalam pantang. Urut turut memperkemaskan bahagian perut kerana segala jenis penyakit berpunca dari situ. Urut hendaklah menggunakan minyak. Minyak urut boleh dibuat sendiri dari ramuan-ramuan tradisional yang masih digunakan pada masa kini iaitu minyak kelapa yang dibuat sendiri, 3 sudu halba, sebuku halia, sebuku kunyit, 3 ulas bawang putih dan 5 biji bawang merah. Kesemua bahan ini mestilah ditumbuk dan dimasak bersama minyak hingga panas. Sejukkan dan simpan di dalam bekas kering agar tahan lama.
4. Ramuan Untuk Bertangas
Bertangas penting untuk menyembuhkan luka dan jahitan dengan kadar yang segera. Apabila bertangas, bahagian luka tersebut akan cepat kering, mengecut dan lebih sembuh seperti sediakala. Ramuannya, 9 keping asam gelugor, 2 sudu garam jantan, 3 helai daun sirih, segenggam inai, sebuku halia dan 3 biji manjakani.
5. Air Minuman Jamu Dan Ubat Periuk
Untuk menghasilkan ubat periuk yang lebih berkesan untuk ibu yang baru bersalin, orang-orang tua memberitahu bahawa kulit kayu setampuk, kulit dua setampuk, kulit tanjung, akar serapit kecil, akar serapat besar, akar tongkat ali (Eurycoma longifolia), dan akar kacip Fatimah merupakan khazanah tumbuhan hutan yang berperanan besar di dalam menghasilkan ubat periuk dan bagi lelaki dan perempuan untuk menjaga kecantikan dan kesihatan.
Setelah menyediakan ubat periuk tersebut, campurkan sedikit serbuk kunyit, halia, 1/2 sudu lada hitam, 5 biji manjakani dan 2 batang serai. Rasanya memanglah agak pahit dan pedas sedikit, tetapi ianya amat berkesan untuk mengecutkan rahim dan menyembuhkannya.
JENIS MAKANAN YANG BENARKAN DAN TIDAK DIBENARKAN UNTUK DI MAKAN
Peranan tumbuhan ubatan amatlah begitu penting bagi masyarakat khususnya masyarakat melayu. Untuk mengikuti amalan berpantang ini, para ibu haruslah memakan makanan yang boleh memanaskan badan seperti halia, lada hitam, jamu dan air akar kayu. Daun pegaga elok dimakan agar awet muda dan sebagai perawatan dalaman, supaya rahim tidak terlalu tegang atau kendur. Ia boleh dijadikan ulam atau direbus dan diminum airnya.
Di samping itu, ada juga tumbuhan ulam atau sayuran yang tidak sesuai dimakan oleh ibu-ibu yang berpantang seperti pucuk ubi kayu, kekacang, pucuk paku, kubis, kangkung, timun, bayam, tembikai (Citrullus lanatus), jambu batu(Psidium guajava), dan air kacang soya. Makanan ini adalah bersifat sejuk dan tidak sesuai untuk para ibu. Terdapat juga makanan yang bersifat tajam dan berbisa seperti rebung, tebu, air kelapa, cuka, dan nanas. Untuk mengelakkan bentan, para ibu digalakkan mencium jintan hitam yang telah dibunjut dan diikat. Selain itu juga jintan hitam mempunyai peranan yang lain yang sering digunakan sebagai ubat.
Jintan Hitam Pulihkan Kesihatan Ibu Bersalin
Jintan hitam mujarab memulihkan kesihatan khususnya untuk ibu-ibu selepas melahirkan anak. Nigella sativa linn nama saintifiknya, jintan hitam yang berasal dari famili Ranunculaceae perlu ditumbuk kemudian direbus dan airnya diminum untuk membuang angin. Ia juga menghilangkan rasa loya, lenguh-lenguh badan dan sakit kepala, menurunkan suhu ketika demam serta menyembuhkan luka-luka, termasuk di bahagian usus. Kaedah yang sama berkesan untuk melegakan batuk-batuk dan mengubati batu karang dan kencing manis. Ia juga bertindak melegakan batuk-batuk dan mengubati batu karang dan kencing manis. Ia juga bertindak sebagai penawar racun atau bisa.
Selain itu, jintan hitam menghindarkan perut kembung bukan sahaja untuk orang-orang dewasa tetapi juga untuk bayi. Untuk orang dewasa, ambil tiga sudu cawan jintan hitam itu lalu ditumbuk halus. Campurkan dengan sedikit pasir sungai kemudian dipanaskan seketika sebelum dibungkus dengan kain dan dituam ke bahagian perut. Bungkusan jintan hitam dan pasir sungai itu juga boleh dituam ke bahagian-bahagian lain untuk mengubati sengal-sengal tulang kecederaan di bahagian hidung dan sakit kepala.
Untuk bayi pula, ambil satu sudu teh jintan hitam dan tumbuk halus kemudian bungkus dengan kain yang dibentuk empat segi sebelum dijahit kemas-kemas. Bungkusan jintan hitam itu akhirnya diletakkan di atas pusat bayi sebelum dibalut dengan barut bayi. Kaedah yang sama turut mengecutkan pusat bayi, sekaligus mengelakkan pusat daripada membonjol. Untuk penyakit resdung pula, jintan hitam ditumbuk kemudian dibungkus dengan kain lalu disedut berkali-kali. Amalan itu juga baik untuk melegakan selesema dan melancarkan pernafasan.
TIP UNTUK KESIHATAN
BEBERAPA JENIS TUMBUHAN DI DALAM PERUBATAN TRADISIONAL
1. Strawberi ubati luka dan kudis
Strawberi sejenis buah berwarna merah berasal dari negara-negara bercuaca sejuk. Ia digemari kerana keenakannya sama ada dimakan mentah ataupun dimasak pai atau puding.
Selain daripada kegunannya sebagai sumber makanan strawberi bernilai tinggi dalam perubatan tradisional. Buahnya yang kaya dengan vitamin C baik dimakan untuk menjaga kesihatan kulit. Daunnya pula direbus dan airnya digunakan untuk mencuci dan mengubati kudis dan luka-luka. Daun yang telah direbus itu kemudiannya ditampal ke bahagian-bahagian yang luka atau berkudis bagi meredakan kesakitan.
Air rebusan daun strawberi juga berkesan untuk menjaga kesihatan mulut. Caranya adalah dengan berkumur menggunakan air rebusan itu adalah bertujuan menguatkan untuk gusi dan gigi serta mengubati ulser dalam mulut.
Selain daripada buah dan daun, jus strawberi yang biasanya dihidangkan sebagai minuman, juga bernilai tinggi dalam perubatan tradisional. Ia amat berkesan bagi mengatasi masalah sembelit di samping bertindak sebagai astringen bagi meredakan demam dan juga untuk membersihkan gigi.
Labu Kuning Atasi Masalah Kekurangan Vitamin A
Vitamin A merupakan sejenis zat makanan yang penting untuk pertumbuhan dan pembentukan tulang. Ia menguatkan daya tahan badan untuk menentang jangkitan penyakit terutamanya di bahagian mata, paru-paru, tiub bronkial, kerongkong dan kulit.
Labu kuning merupakan salah satu daripada kaedah-kaedah dalam perubatan tradisional untuk mengatasi masalah kekurangan vitamin A, satu faktor yang menyebabkan seseorang itu terdedah kepada berbagai-bagai penyakit.
Berasal dari keluarga Cucurbitaceae, labu kuning adalah di antara jenis-jenis sayur yang kaya dengan vitamin A untuk mengubati atau menghindarkan penyakit-penyakit seperti masalah kulit, sakit mata, rabun terutamanya pada waktu malam, ketidakseimbangan gula dalam darah, jangkitan penyakit, pembengkakan di bahagian sendi, masalah paru-paru.
Buah labu dibuang kulit dan biji kemudian dikisar halus dengan air dan diminum pada setiap hari. Ia boleh dicampur dengan sedikit jus lobak merah untuk mengatasi rasanya yang kelat.
Isi labu, yang juga kaya dengan kalsium, fosforus, zat besi, sodium, potasium, niasin, vitamin B dan C dan magnesium, melancarkan fungsi-fungsi limpa manakala bijinya, yang mengandungi lemak dan protein boleh dimakan selepas digoreng. Juga boleh menghapuskan masalah cacing pita dalam usus, terutamanya di kalangan kanak-kanak. Ramai orang telah menjual biji labu ini apabila sudah digoreng dan permintaan ramai begitu menggalakkan terutamanya bagi golongan remaja yang lebih suka makan di waktu-waktu lapang.
3. Pokok Hati-Hati Meredakan Batuk
Pokok hati-hati merupakan sejenis tumbuhan herba berbunga ungu muda. Daunnya tebal dan berbulu halus berwarna hijau muda. Berasal dari famili Labiate, pokok hati-hati yang juga dikenali sebagai bangun-bangun atau nilam di sesetengah tempat merupakan penawar dalam perubatan tradisional.
Salah satu daripada kegunaannya ialah untuk mengubati batuk, terutamanya di kalangan orang-orang dewasa. Kaedah penyediaannya ialah dengan menumbuk beberapa helai daun hati-hati kemudian campur dengan air sebelum ditapis dan diminum dua kali sehari.
Pokok hati-hati, juga dikenali dengan nama sainsnya sebagai Coleus amboinicus lour. Ianya berkesan juga untuk merawat masalah sembelit. Cara rawatannya sama seperti merawat batuk, iaitu dengan menumbuk daunnya, kemudian dicampur dengan air sebelum ditapis dan diminum. Daunnya juga digunakan sebagai ramuan untuk mengharumkan masakan.
4. Aloe Vera Penawar Pelbagai Penyakit
Pokok Aloe vera memang diketahui bernilai tinggi dalam bidang perubatan. Tumbuhan berdaun tebal berwarna hijau dan berbintik-bintik putih ini merupakan penawar bagi mengubati pelbagai penyakit, antaranya darah tinggi, kencing manis, sakit jantung, barah dan masalah kulit.
Berasal dari famili Liliaceae, aloe vera terdiri daripada dua bahagian, iaitu bahagian isinya yang jernih menyerupai jel dan jusnya berwarna hijau kekuningan yang diproses daripada bahagian daun berwarna hijau.
Jel aloe vera digunakan untuk membuat berbagai-bagai jenis krim yang menyejuk, meredakan, menyembuhkan dan melembabkan kulit. Ia juga merupakan bahan penting untuk membuat syampu bagi mengatasi rambut kering dan juga masalah gatal-gatal di bahagian kulit kepala.
Jel aloe vera menyejukkan kulit dan melindunginya daripada jangkitan kulat serta menghilangkan parut. Ia memepercepatkan proses penggantian sel dan berkesan untuk merawat luka, kudis dan kesan-kesan akibat melecur.
Jel yang dikikis daripada daun aloe vera yang dibelah dua boleh digunakan dalam bantuan kecemasan untuk merawat kesan-kesan melecur akibat terbakar atau bahang panas matahari, kulit melepuh atau gatal-gatal.
Jus aloe vera pula digunakan sebagai ubat untuk mengawal berbagai-bagai penyakit, termasuk tekanan darah tinggi, kencing manis, barah dan sakit jantung. Ia juga merupakan salah satu daripada bahan-bahan yang digunakan untuk membuat krim untuk kegunaan melindungi kulit daripada terkena pancaran ultra-violet.
5. Jering Ubati Sakit Batu Karang
Buah jering bernilai tinggi dalam perubatan tradisional terutama untuk mengubati batu karang. Ambil tiga biji buah jering, ditumbuk halus bersama sedikit halia sebelum direbus dengan lima gelas air. Bila mendidih, biarkan sejuk dan minum airnya secawan sehari.
Jering yang dikenali sebagai Pithecellobium jiringa dari segi saintifik dan berasal dari famili Leguninosae. Jering juga berkesan untuk merawat penyakit kencing manis. Bila memakan jering, kulitnya jangan dibuang sebaliknya direbus dengan air hingga mendidih. Bila sejuk minumlah secawan sehari pada setiap pagi.
Buahnya pula dimakan sebagai ulam tetapi jangan dibuang kulit airnya kerana bahagian itulah yang berkhasiat untuk mengubati penyakit kencing manis.
Selain daripada buah, kulit pokoknya turut dapat mengubati kencing manis. Caranya sama seperti menggunakan kulit buah jering iaitu merebusnya hingga mendidih dan diminum secawan sehari pada waktu pagi atau malam.
PENUTUP
Di dalam perubatan tradisional, masyarakat melayu khususnya mempunyai pelbagai jenis tumbuhan yang digunakan, samada dari pucuk kayu sehinggalah ke akar kayu, semuanya boleh dijadikan ubat. Amalan perubatan ini amat berkesan dan kadangkala ianya lebih sesuai digunakan mengikut keadaan yang tertentu berbanding perubatan cara moden. Tambahan kosnya yang murah, menyebabkan ramai orang lebih senang berubat cara tradisional. Tetapi dewasa ini, tidak ramai golongan dewasa yang berminat untuk mempelajari perubatan tradisional ini dan hanya segelintir sahaja yang meminatinya. Tidak dinafikan satu hari nanti, pokok sirih yang banyak kegunaannya yang ada dibelakang rumah tidak digunakan lagi oleh anak remaja sekarang ini. Ini adalah kerana mereka tidak tahu akan kegunaannya. Oleh itu, sebagai masyarakat melayu, saya rasa berbangga dapat mempelajari tentang dunia Etnobotani ini dan kegunaannya. Semoga kita mendapat manfaat dari mempelajarinya.
BIBLIOGRAFI
Soerahso, Okt 1992. Tanaman Ubat, Majalah Turbus, bil. 275. 1992 Jakarta. m/s 17
Zurilawati Ku Zaifah, 1999. Petua Ibu Kembali Segar, Majalah Jelita, bil. Mei. m/s 68 – 70 Zunairah Radzi, 1999. Amalan berpantang masyarakat melayu. Majalah Jelita. Bil. Mei. m/s 94 – 99
Zainol Fakir, 1997. Tip Kesihatan. Majalah Mastika. Bil Oktober 1997. m/s 62 – 65. Kuala Lumpur.
Zainol Fakir, 1998. Tip Kesihatan. Majalah Mastika. Bil Julai 1998. m/s 82 – 83. Kuala Lumpur.