Sangitan / Kerak-kerak Nasi / Chinese Elder Berry
Pokok sangitan dikenali juga dengan nama kerak-kerak nasi atau Chinese Elder Berry merupakan sejenis tumbuhan tropika, yang berasal dari kawasan sub tropika dan tropika termasuk Malaysia. Jika kita melalui jalan Tapah untuk turun atau naik ke tanah tinggi Cameron Highland, terdapat tumbuhan ini yang tumbuh secara liar di kiri dan kanan jalan di kawasan yang agak tinggi sekitar Latar Iskandar.
Sangitan merupakan satu varieti elderberry yang terkenal mempunyai pelbagai khasiat untuk kesihatan. Nama botani tumbuhan ini ialah Sambucus javanica dari keluarga Adoxaceae. Daunnya mempunyai rasa manis dengan sedikit pahit. Ia tumbuh sumbur dikawasan yang agak teduh dan tanahnya lembab. Khasiatnya sama denga elderberry (sambucus nigra) yang terdapat di Barat. Bezanya buah elderberry masak berwarna hitam, tetapi buah sangitan masak berwarna merah. Buah dan daunnya mengandungi sedikit toksin. Daunnya tidak dijadikan makanan. Buahnya selamat dimakan setelah dimasak (dimasukkan kedalam puding, dijadikan sirap dan sebagainya).

Khasiat
Terdapat kajian dijalankan keatas fungsi tumbuhan ini sebagai penawar antaranya untuk meningkatkan fungsi hati dalam merawat penyakit kuning. Bahagian yang digunakan ialah akarnya. Ia juga digunakan secara tradisional untuk mengubati penyakit lain seperti beri-beri (kekurangan vitamin B), sakit pinggang dan rubela (air rebusan akarnya digunakan untuk mandi). Wanita hamil ditegah sama sekali dari minum air rebusan akarnya.
