NIK AMIRULMUMIN NIK MIN | 2022-12-13 10:35:00 | www.sinarharian.com.my
KUANTAN – Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) menyediakan 272 pasukan terdiri daripada 149 pasukan perubatan dan 123 pasukan kesihatan bagi menghadapi banjir kali ini.
Pengarahnya, Datuk Indera Dr Nor Azimi Yunus berkata, pasukan perubatan itu berperanan memberi rawatan kepada pesakit di pusat pemindahan sementara (PPS).
Menurutnya, pasukan kesihatan pula diberi tanggungjawab melakukan aktiviti pencegahan, pemantauan dan kawalan penyakit serta pemeriksaan persekitaran di PPS.
“Pada masa sama, JKNP turut menyediakan 95 pasukan Kesihatan Mental dan Perkhidmatan Sokongan Psikososial (MHPSS) dalam menangani isu kesihatan mental dalam kalangan mangsa banjir di pusat pemindahan di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Nor Azimi berkata, sejak 7 Disember lalu, 20 pasukan perubatan telah ditugaskan di semua PPS yang dibuka di daerah Lipis, Raub, Temerloh, Jerantut dan Bera.
“Sementara itu, 18 pasukan kesihatan secara kumulatif ditugaskan melakukan pencegahan, pemantauan persekitaran dan kawalan penyakit di PPS tersebut.
“Pasukan MHPSS pula telah memberikan sokongan psikososial kepada 243 mangsa banjir secara kumulatif sehingga kini,” katanya.
Jelas beliau, antara aktiviti psikososial yang diberikan termasuk relaksasi, terapi seni dan psikopendidikan.
Sementara itu katanya, JKNP menasihati orang ramai agar mengambil air minuman dan makanan yang bersih serta tidak tercemar bagi mengelakkan kejadian penyakit bawaan air dan makanan seperti keracunan makanan, taun, hepatitis A dan demam kepialu semasa bencana banjir.
“Orang ramai turut dinasihatkan untuk sentiasa menggunakan alat pelindung diri seperti but dan sarung tangan getah semasa aktiviti pembersihan banjir bagi mengurangkan risiko penyakit berjangkit seperti leptospirosis, melioidosis, dan lain-lain penyakit bawaan air dan makanan,” ujarnya.