Sinar Harian | 2022-12-12 23:04:00 | www.sinarharian.com.my
Polis dan ambulans tiba di lokasi kejadian tembakan di Wieambilla. – Agensi
SYDNEY – Pihak berkuasa Australia pada Isnin mengesahkan dua anggota polis antara tiga mangsa yang maut dalam insiden tembakan di negeri Queensland.
Susulan insiden itu, polis Queensland mengarahkan penduduk komuniti luar bandar terpencil Wieambilla, kira-kira 270 kilometer ke ibu negeri Brisbane untuk kekal di rumah sehingga diberitahu kelak.
Usaha memburu dalang pembunuhan tersebut sedang giat dijalankan.
“Adegan mengerikan di Wieambilla dan hari yang menyayat hati untuk keluarga dan rakan-rakan pegawai Polis Queensland yang kehilangan nyawa mereka dalam menjalankan tugas,” ciap Perdana Menteri, Anthony Albanese di Twitter.
Polis telah dipanggil ke hartanah Wieambilla pada petang Isnin sebagai respons kepada laporan orang hilang dari negeri jiran New South Wales, kata laporan berita Australia.
Seorang lelaki dari ladang berhampiran juga tiba selepas melihat kebakaran di tempat kejadian ketika tembakan bermula.
Sebanyak empat pegawai berada di tempat kejadian apabila satu tembakan kedengaran, membunuh dua daripada mereka dan lelaki yang datang ke lokasi kejadian tersebut, manakala pegawai ketiga cedera ringan.
Perbadanan Penyiaran Australia berkata beberapa jiran telah mendengar berpuluh-puluh tembakan dan melihat kereta terbakar.
The Sydney Morning Herald melaporkan bahawa pegawai keempat, seorang wanita dalam tahun pertama bertugas, dapat melarikan diri dan membunyikan penggera.
Insiden tembakan rambang agak jarang berlaku di Australia sejak pembunuhan beramai-ramai di Port Arthur di negeri selatan Tasmania pada tahun 1996 di mana seorang lelaki bersenjata membunuh 35 orang.
Kejadian tembakan di Wieambilla itu adalah yang kedua di Queensland sejak Ogos lalu apabila tiga lelaki terbunuh di ladang lembu terpencil.
Australia mempunyai beberapa undang-undang senjata api yang paling keras di dunia yang dikenakan selepas kejadian tembakan besar-besaran di Port Arthur. – AFP