Category Archives: Noraida
Paku Engkeruak
Terima kasih kepada Linn Nicole Ragai Lang yang telah bantu saya mengenal pasti paku misteri yang tumbuh dalam pasu saya , benih dari selori tanah bukit yang saya beli untuk menyemai di nurseri.
Nama tempatan : Paku Engkeruak
Nama Botani : Ceratopteris thalictroides (L.) Brongn.
Keluarga : Pteridaceae
“The only record of Ceratopteris thalictroides being eaten in Africa is from Madagascar, where it is used in a similar way as watercress. It is commonly eaten throughout South-East Asia. In Malaysia and Japan it is an established luxury vegetable. The young leaves, before they have uncurled, make excellent greens and when cooked or blanched they can be eaten as a salad.
The plants can be used as a green manure in rice fields. Medicinally, this fern (both leaf and root) is used in Malaysia and the Philippines as a poultice against skin complaints, e.g. as a drawing agent on carbuncles, in China as a styptic to stop bleeding. Ceratopteris species, including Ceratopteris thalictroides, are grown as ornamentals in aquariums, popularly called ‘water sprite’. Ceratopteris thalictroides and especially also Ceratopteris richardii Brongn. serve as model plants in developmental biology and molecular research. They are useful for research because they have independent haploid and diploid life phases, a short life cycle, a simple genetic system, and reproduce by single-celled haploid spores.”
www.prota4u.org/database/protav8.asp..
Pokok Ekor Kucing Merah
Nama Tempatan: Pokok Ekor Kucing Merah
Nama Botani: Acalypha hispida
Nama Lain: Chenille plant, Philippine medusa, red hot cat’s tail, fox’s tail, Rabo de gato (Portugis),
Keluarga: Euphorbiaceae Sub-Keluarga: Acalyphinae Genus : Acalypha
Penerangan
Pokok hiasan ini ditanam kerana bunganya yang unik dan berwarna menarik. Ia berasal dari bahagian Asia tropika , iaitu di kawasan kepulauan Nusantara dan Papua. Biasa ditanam sebagai tumbuhan hiasan di halaman rumah , juga menjadi tumbuhan lanskap yang menarik untuk taman-taman awam. Ia boleh ditanam diluar rumah dan juga sesuai ditanam sebagai tumbuhan hiasan dalam rumah. Pada iklim yang sesuai seperti iklim khatulistiwa dan tropika, ia boleh mengeluarkan bunga sepanjang tahun.
Pokok ekor kucing boleh dibanyakkan dengan semaian biji benih dan keratan batang. Iklim yang paling sesuai iala iklim tropika.Pemangkasan dilakukan selalu untuk mendapatkan bentuk yang rimbun dan bunga yang banyak.
Sumber: FB Katalog Nurseri Malaysia
Cerita Moringa lagi..
Minggu lepas didatangi seorang pelanggan, dari jabatan pertanian Lundang. Masa hari peladang dan nelayan bulan 11 hari tu rupanya dia membeli sample pek serbuk moringa kami. Dah habis katanya. mula-mula minum pening juga .. rupanya dia ada darah tinggi. selang beberapa hari pegi check darah tinggi dah turun dan sekarang dia dengan beraninya terus stop ubat hospital yang dulunya diambik setiap hari ( peringatan : Jangan stop ubat tanpa nasihat pakar, tanya opinion doktor kita dulu ya) . Daripada pek sample 30 g yang dibelinya dulu dia terus tambah beli pek 500g. Nak share khasiat dengan kawan-kawan katanya. Tadi kami tutup awal sebab hujan lebat betul.. tapi sebelum balik sempat singgah hantar teh uncang moringa kepada seorang pelanggan lelaki yang beli masa hari peladang juga. dari beli satu paket 20 teabag hari ni dia ambil 5 paket , 100 uncang semuanya. Hujan renyai2 jadi suami saya pass ikut tingkat kereta saja .. dari tingkap kereta sempat dia tunjukkan perutnya…Dah slim perut saya ni..tengok muka semua dan kempis.. katanya sambil gelak-gelak….Teringat pula saya nasihat sorang pakcik masa hari peladang har tu.. katanya… mek panggil la ore gemuk-gemuk, heret mari sini… royat ini buleh bagi kurus…. jiran pakcik slim melim minum teh gemunggai…kalu gi kemboja perempuan dia slim sebab minum teh ni je.. bersungguh-sungguh dia nasihatkan saya… tapi takut pulak saya nak heret akak-akak sado nak promote bagai…biar moringa ni dikenali orang kerana khasiat utamanya sebagai multi-vitamin sahaja. Itu yang sudah terbukti melalu kajian saintifik. Check-check handphone nampak pula mesej seorang pelanggan lama..katanya 12 tahun dulu dia ada beli teh kenerak melalui laman web <l.facebook.com/l.php?u=http%3A%2F%2Fwww.melur.com%2F&h=AT2lUigyJ0rE qQDm8Lq0o_tirbpxDEdJYgdeJVHz8JwtQmsxASnPHlW8WXcXSSGZgS0aoZUpB0nMIWgYMw5HcDIu GDnwfelqKGSCQPdmR18QJT2RVuJSCO7C-G2Y4Gbb4XC_nRMd0ufxYlOETP7uFwjareCYkSSAbZo> www.melur.com . tengok perkataan 12 tahun , baru tersedar..wah dah lamanya usia website kami. hampir mencecah 15 tahun. ketika saya mulakan laman web ini pada tahun 2003… tahun itu tahun ke 5 saya di alam pekerjaan, ketika itu saya cuma ibu muda beranak satu berusia 28 tahun yang melayan hobi dan minat terhadap khazanah herba selepas berhempas pulas membangunkan software dan bercakap dengan mesin di pejabat setiap hari… sekarang anak tu dah lepas SPM pun, maknya pun dlm beberapa hari lagi dah nak genap 43 tahun, satu perjalanan panjang tu..Alhamdulillah ala kulli haal…. Hujan-hujan macam ni fefeeling nostalgic la pulak Sapa yang baca coretan kosong saya ni sampai abis TQ… jarang2 ada mood nak menulis panjang2 ni…https://static.xx.fbcdn.net/images/emoji.php/v9/f4c/1/16/1f642.png:-)
Tumbuhan Penapis Udara
Tumbuhan penapis udara
Tumbuhan penapis udara: Sirih puteri/money plant Allah menjadikan alam ini lengkap dengan kepelbagaian flora dan faunanya. Udara dan alam kini rosak dan tercemar natijah perbuatan manusia yang melampau sebagaimana Firmannya dalam surah Al-Rum ayat 41:
Maksudnya : “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”
Udara tercemar akibat dari banyak punca seperti asap kilang, asap kenderaan, sisa kimia dan yang paling dekat dengan kita ialah asap rokok. Sesuai dengan sikap manusia yang suka mencemar dan merosakkan ini Allah menjadikan sesetengah tumbuhan ini mempunyai nilainya yang tersendiri untuk menapis udara. Antara tumbuhan itu ialah sirih puteri atau lebih biasa kita kenali sebagai “money plant” atau nama melayunya sirih puteri
Nama tempatan ; Sirih puteri Nama lain: Money plant, devil’s ivy, Nama botani: Epipremnum aureum Keluarga : Araceae
Terdapat pelbagai jenis kultivar pokok ini yang terdapat dipasaran. Antara yang ada dalam simpanan saya ialah “Jade” “njoy” dan “Marble queen’
Bagaimana tumbuhan ini dapat menapis udara?
Ramai yang tak tahu udara di dalam kediaman kita rupanya lima kali lebih tercemar dari udara diluar. Selama ini kita menganggap udara di dalam rumah kurang tercemar dari diluar. Cara paling mudah dan tidak mahal untuk menapis udara di dalam rumah ialah dengan menyimpan tumbuh-tumbuhan yang telah dikenal pasti dapat menapis udara. Kalau rumah kita dicat menggunakan cat sintetik (kebanyakan cat adalah sintetik) atau ada permaidani, tumbuhan paling sesuai dijadikan tumbuhan hiasan dalam rumah. Ini kerana sirih puteri mempunyai kecenderungan untuk menarik VOCs (Volatile organic compound) yang terdapat dalam udara rumah kita. VOCs ialah sejenis sebatian organik yang mudah bertukar menjadi habuk dan gas.
Nota: Jika ada anak kecil atau haiwan peliharaan dirumah , tempatkan sirih puteri ditempat yang tidak mudah dicapai kerana daun tumbuhan ini mengandungi toksid jika dimakan.
Kenali Khasiat Taragon
Kenali Khasiat Taragon
Tarragon atau nama saintifiknya Artemisia dracunculus merupakan sejenis tumbuhan daripada keluarga bunga matahari , Asteraceae. Ia juga dikenali dengan nama lain iaitu estragon. Tarragon ditanam kerana kegunaan masakan dan perubatannya. Nak beli tarragon, PM kami: www.facebook.com/messages/t/melurdotcom ATAU
1. Datang Nurseri kami : goo.gl/maps/V2v5zgYj51w
ATAU
2. Beli secara online dari website kami : www.melur.com/product/tarragon/
Tarragon merupakan rempah wajib dalam masakan preancis. French tarragon , merupakan variasi tarragon yang digunakan dalam masakan. Baunya menyerupai bau jintan manis.
Ia tidak boleh dibiakkan melalui biji benih , hanya boleh menggunakan kaedah keratan batang dan pecahan akar. Seperti herba inggeris yang lain , tarragon juga menyukai tanah yang tidak terlalu kaya dengan nutrien. semaian tarragon boleh dibuat dengan menggunakan bahagian pucuknya. semai dalam tanah holland dan biarkan ditempat teduh hingga berakar. setelah itu baru dipindahkan ke pasu. Tarragon boleh di tuai bila-bila masa dan disimpan kering untuk kegunaan.Tarragon yang matang menghasilkan bunga yang berwarna kuning dan cantik.
Tarragon banyak digunakan dalam masakan ayam, ikan dan telur. Di Barat tarragon segar direndam dalam cuka untuk menghasilkan cuka tarragon. Digunakan juga sebagai perasa minuman berkarbonat yang popular di negara-negara seperti Armenia, Azerbaijan, Georgia and, by extension, Russia, Ukraine and Kazakhstan. Minuman ini dikenali dengan nama tarhun. di negara Iran, ia digunakan sebagai penambah perisa dalam jeruk, seperti jeruk timun dan lain-lain lagi.
Kesihatan dan perubatan
Dari segi kesihatan dan perubatan pula, kegunaan taraggon menyamai kegunaan jintan manis. Rekod pertama mengenai tarragon yang menjumpai menunjukkan tarragon telah digunakan seawal 600 tahun yang lalu. Ia mula diperkenalkan di Itali pada pada kurun ke 10 , hasil dari penaklukan bangsa mongol ke atas itali. Rekod menunjukkan bangsa mongol menggunakan tarragon sebagai ubat untuk mendapatkan tidur yang lena, penyegar nafas dan rempah masakan. Antara kegunaan perubatan tarragon ialah:
1. Sebagai penahan sakit- mengunyah tarragon , dapat melegakan kesakitan dalam mulut dan sakit gigi. untuk kelegaan sakit bahagian lain, tarragon boleh diminum sebagai teh
2. minum teh tarragon dapat membantu menanngani masalah insomnia.
3. Menambah selera makan. Tarragon boleh diambil sebagai salad atau ulam.
4. Kelegaan ketika haid.
5. Menangani masalah penghadaman
6. mengelakkan penyakit jantung kerana tarragon dapat menghalang pembekuan platlet yang menjadi penyebab serangan jantung.
Kegunaan mudah tarragon dalam masakan
1. cincang tarragon halus-halus dan tabur dalam salad kegemaran anda
2. Tabur atas telur kegemaran anda
3. Tabur atas makanan laut kegemaran
4. Tabur tarragon atas ayam sebelum dipanggang
5. Tambah pada sos kegemaran anda untuk dapatkan rasa yang berbeza.
Pokok Kembang Songsang
Kembang songsang menjadi pilihan untuk ditanam sebagai hiasan kerana bentuk bunga yang unik menawan serta warnanya yang garang menyerlah. Ia merupakan sejenis tumbuhan menjalar. Boleh di tanam di dalam pasu atau di tanam terus ke tanah. Struktur menjalarnya menyebabkan ia amat sesuai untuk dijadikan hiasan pada pagar atau pintu gerbang. Bunganya yang cantik juga sesuai untuk dijadikan bunga potong untuk jambangan bunga segar. Jika bunga yang kelopaknya masih belum membengkok ke belakang dipotong , ia boleh bertahan segar selama 8 hari dalam jambangan bunga.
Bunganya mempunyai 6 kelopak yang panjang (lebih kurang 4 cm) dengan bahagian tepi kelopak bunganya berombak-rombak.Ia berbuah , panjang buahnya lebih kurang 6 cm.
Dalam kitab perubatan ayurveda, tumbuhan ini dikenali dengan nama kalihari dan Agnishikha. Ia merupakan herba yang banyak digunakan selama beratus tahun untuk rawatan sakit otot dan sakit sendi. Ia disebut dalam kitab avurveda, Charaka Samhita. Ia juga digunakan untuk rawatan penyakit telinga dan penyakit kulit. Disebutkan ia juga merupakan herba yang digunakan untuk rawatan buasir. Ia juga digunakan untuk mempercepatkan proses kelahiran.
Di India akarnya digunakan untuk rawatan bisa ular( di campur dengan herba-herba lain). Pokok ini mengandungi ubi. Ubinya tidak boleh di makan dan boleh menyebabkan keracunan jika dimakan dalam jumlah yang banyak. Ubinya juga boleh menyebabkan keguguran. Ole itu di dalam perubatan ayur veda ia juga dikenali dengan nama Garbhaghatini (pemusnah garbha/kandungan).
Colchicine adalah alkaloid yang diekstrak dari bijinya. Colchicine digunakan dalam perubatan moden Di Afrika dan Asia tumbuhan ini digunakan untuk merawat mati pucuk
Bunga kebangsaan Tamil Nadu,Rhodesia dan zimbabwe
Rujukan:
Kehebatan Moringa Oleifera
Moringa (Kacang Kelor )
Moringa (Moringa oleifera) dikenali di Malaysia dengan pelbagai nama vernakular. Di bahagian utara semenanjung ia dikenali dengan nama kacang kelor atau merunggai. Di bahagian pantai timur ia lebih dikenali dengan nama gemunggal. Ia juga dikenali dengan nama remunggai, munggai dan nama-nama lain lagi mengikut daerah. Di luar dari Malaysia ia dipanggil drumstick tree, moringa, horseradish tree, ben oil tree, benzoil tree dan 400 nama vernacular lain mengikut negara. Hakikatnya, ia merujuk kepada sejenis tumbuhan dari keluarga Moringaceae. Ia merupakan sejenis pokok yang cepat membesar. Ia boleh mencapai ketinggian antara 10 hingga 12 meter. Diameter batangnya sahaja boleh mencapai sehingga 1.5 kaki. Moringa cepat berbunga. Selalunya jika di kawasan tropika, bunga pertama akan dihasilkan kira-kira 6 bulan selepas ditanam.Walaubagaimanapun ia mungkin lambat sedikit jika di tanam di kawasan yang beriklim lebih sejuk. Bunganya agak wangi berwarna putih kekuningan. Dalam keadaan yang optimum , seperti dalam iklim khatulistiwa, bunganya boleh terhasil sepanjang tahun.
Buah moringa bergantungan pada dahannya. Ia berbentuk panjang dengan kapsul-kapsul yang mengandungi bijinya. Buahnya berwarna hijau ketika muda dan menjadi coklat gelap apabila matang.Biji benihnya berwarna coklat gelap , mempunyai sayap dan disebarkan melalui angin dan air. Pemangkasan perlu dilakukan setiap tahun untuk terus menggalakkan pertumbuhan pokok moringa.
Moringa berasal dari kawasan selatan lereng banjaran Himalaya, Iaitu kawasan utara Negara India. Ia ditanam kerana kegunaannya sebagai sayur-sayuran. Buahnya yang muda , berbentuk seperti kekacang di jadikan sayuran. Buahnya boleh dicampur ke dalam masakan seperti kari dan dalca. Ia juga boleh direbus dan dijadikan ulam bersama sambal belacan. Pucuknya menjadi sayuran yang sangat sedap apabila di goreng bersama telur.
Setakat artikel ini ditulis(2016), India adalah negara pengeluar moringa paling utama dengan penghasilan sekitar 1.1 hingga 1.3 juta tan buah moringa setiap tahun, meliputi kawasan penanaman seluas 380km persegi. Moringa boleh ditanam sebagai tanaman kekal ataupun tanaman semusim. Ia boleh dibiakkan dengan cara semaian biji benih ataupun keratan batang. Jika moringa di tanam untuk penghasilan pucuknya sebagai sayur-sayuran, jarak penanaman moringa ialah 15X 15cm atau 20X20cm. Lorong di antara baris diperlukan untuk memudahkan penjagaan pokok dan penuaian hasil. Moringa juga boleh ditanam sebagai tumbuhan pagaran, sekaligus ia boleh dimanfaatkan sebagai sayuran yang sangat berkhasiat dalam gizi makanan kita.
Kegunaan Moringa
Moringa dikenali dengan tumbuhan pelbagai guna kerana hamper kesemua bahagiannya boleh digunakan sebagai makanan. Bahagian tumbuhan ini yang boleh dimakan ialah:
- Buahnya yang masih muda. Buah ini juga dikenali dengan nama drumstick kerana bentuknya. Di kawasan Asia tenggara buahnya yang masih muda dimasak bersama kari. Ia dimasak sehingga lembut. Walaupun dimasak lama dengan suhu yang tinggi kandungan vitamin c dalam buah moringa masih tinggi. Buahnya merupakan sumber kepada serat, kalium, magnesium dan mangan.
- Bahagian yang paling berkhasiat pada pokok moringa ialah daunnya. Ia kaya dengan vitamin B, vitamin C , provitamin A. Zat-zat lain yang terdapat pada daunnya ialah beta karotina, vitamin K , magnesium , mangan dan protein. Kandungan zat yang terdapat dalam 100g daun moringa segar yag dimasak menyamai kandungan zat di dalam makanan-makanan lain yang bergizi tinggi. Daunnya biasa di goreng dengan sedikit minyak masak seperti penyediaan bayam. Ia juga boleh direbus dan dijadikan sup. Daunnya juga boleh dikeringkan dan dijadikan serbuk dan ditabur ke dalam sup atau masakan lain.
- Biji yang didapati dari buahnya yang telah tua boleh dimakan menta atau dipanggang. Ia mengandungi kandungan vitamin C yang tinggi. Bijinya juga boleh dikunyah untuk membantu melegakan masalah gastrik.
- Minyak yang dikeluarkan dari bijinya. Bijinya yang telah tua boleh menghasilkan minyak yang boleh dimakan dan merupakan salah satu alternatif kepada minyak masak yang lain. Minyak yang terhasil dari bijinya yang telah tua merupakan salah satu sumber biodiesel yang berpotensi.
- Akarnya yang diparut dijadikan perisa untuk di tabur atas makanan.
- Bunganya juga boleh dijadikan sayuran dan dimasak dengan menggunakan kaedah yang sama dengan pucuknya.
Moringa dari perspektif perubatan herba
Daun Moringa juga kaya denga anti-oksidan. Sebagaimana yang diketahu umum, anti-oksidan akan membantu badan kita menentang radikal bebas yang menjadi penyebab penyakit seperti kanser, jantung dan kencing manis. Dalam perubatan herba moringa digunakan:
- Sebagai penambah zat untuk masalah kekurangan vitamin terutamanya kepada ibu hamil dan ibu yang sedang menyusukan bayi. Kandungan zat yang tinggi yang terdapat pada daun dan buahnya dapat membantu ibu hamil dan menyusukan mendapat zat tambahan. Tambahan pula cirri pokoknya yang dapat tumbuh pada persekitaran semi arid ( persekitaran panas dan menerima hujan yang sedikit) dapat membantu masalah kekurangan nutrisi di negara-negara miskin.
- Menurunkan kandungan gula dalam darah. Dalam satu kajian 30 orang wanita ( rujukan: http://link.springer.com/article/10.1007%2Fs13197-012-0859-9) telah diberikan sebanya 7g serbuk daun moringa setiap hari selama 30 hari. Keputusan kajian mendapati paras gula dalam darah mereka terlah menurun sebanyak 13.5 %
- Daun , buah dan biji moringa sebagai penawar radang . Radang atau inflammation berlaku disebabkan oleh tindakbalas semulajadi tubuh kita terhadap jangkitan atau kecederaan. Ianya perlu sebagai satu mekasisme pertahanan badan. Cuma masalah akan timbul apabila radang ini berterusan untuk tempoh yang lama. Kajian membuktikan daun, buah dan biji moringa dapat mengurangkan kesan keradangan. Walaubagaimanapun setakat ini kajian klinikal dibuktikan terhadap haiwan dan tidak dilakukan ke atas manusia lagi.
- Daun moringa untuk menurunkan kadar kolestrol.
Rujukan
Ubat Semulajadi Untuk Gout
Ubat semulajadi untuk Gout/athritis
Gout merupakan sejenis penyakit yang juga sebahagian daripada penyakit yang dikenali sebagai athritis. Gout menyebabkan pedih membakar, sakit menyengat kerengsaan dan bengkak pada bahagian-bahagian sendi seperti tumit, lutut dan sendi-sendi jari.Jika dibiarkan gout akan menyerang berulang-ulang kali sehingga boleh menyebabkan kerosakan pada sendi, tendon dan tisu.Mengikut statistik, lelaki lebih ramai mengidap gout dari wanita.
Gout berpunca dari asid urik yang terlalu banyak di dalam darah.Jika sekali sekala kandungan asid urik dalam darah tinggi, ia tidak merbahaya kerana badan kita berkeupayaan untuk mengeluarkan asid urik yang berlebihan melalui kencing. Akan Tetapi jika keadaan di mana asid urik terlalu tinggi itu selalu berlaku ia akan mengakibatkan asik urik itu berkumpul pada bahagian sendi dan menjadi kristal yang keras.Individu yang mengalami masalah obesiti, mengambil minuman beralkohol, makan terlalu banyak daging dan makanan laut akan menghadapi risiko yang lebih tinggi untuk mengidap gout. Sesetengah ubat , seperti ubat darah tinggi dan kencing manis yang dipanggil “water pill” juga boleh meningkatkan risiko penyakit gout.
Pelbagai kaedah dan petua digunakan sejak dahulu untuk mengubati penyakit gout. Lama sebelum kemajuan perubatan mengambil tempat dalam masyarakat kita. Cuma kini, atas faktor kesibukan dan kurangnya pengetahuan,ramai pesakit gout memilih rawatan moden berbanding dengan petua tradisional. Berikut adalah beberapa petua yang digunakan untuk penyakit gout dan berkesan untuk individu yang mengamalkannya.
1. Buah kemunting.
Buah kemunting yang masak boleh dimakan begitu sahaja sebagai penawar gout. tiada jumlah atau sukatan tertentu.
2. Daun misai kucing
Daun misai kucing yang dikeringkan dan dijadikan teh boleh membuang toksin melalui pembuangan air kecil. Teh misai kucing boleh dijadikan minuman harian untuk diminum seisi keluarga kerana rasanya yang sedap. Teh ini juga boleh didapati dalam bentuk uncang dikedai-kedai atau farmasi dan selalunya dikenali dengan nama java tea. Teh ini untuk mencegah gout.seeloknya diminum selepas mengambil makanan laut dan makanan lain yang mengandungi kandungan asid urik yang tinggi
3. Ubi kentang.
Petua ini diberikan oleh salah seorang pelanggan nurseri herba saya dan diamalkan oleh beliau sendiri serta terbukti berkesan untuk dirinya. beberapa biji ubi kentang dibersihkan tanpa dibuang kulit.potong dengan pisau (paras) bahagian atas, bawah, kiri dan kanan hingga bahagian dalamnya berbentuk empat segi. Bahagian tengahnya dibuang. Jangan dimakan sendiri kerana bisa untuk gout. rebus bahagian yang dipotong tadi dengan air lebih kurang 1 liter (bergantung pada banyak ubi yang digunakan) tiada sukatan tertentu. setelah mendidih minum dan jadikan minuman harian hingga penyakit berkurangan insyaAllah.
4. Buah keladi candik/keladi merbah
Buah keladi candik yang masaknya berwarna oren terang dan menjadi kegemaran burung merbah menjadi penawar mujarab untuk gout. buanya dimakan beberapa biji(jangan terlalu banyak) sehari sehingga penyakit berkurangan
Tanaman Selingan Untuk Durian
Tanaman selingan(companion planting) untuk durian
Noraida Arifin
Menanam durian mengambil masa yang lama untuk mendapatkan hasil. Jika benih yang digunakan adalah benih kawin jangkamasa lebih kurang 5 tahun diperlukan untuk mendapatkan hasil pertama.
Menanam tanaman selingan merupakan satu cara untuk mendapatkan hasil lebih awal sementara menunggu pokok durian mengeluarkan hasil. Di dalam kaedah penanaman berbilang-tanaman. Pokok durian dijadikan tanaman antara barisan tanaman pokok kelapa.Antara tanaman selingan yang sesuai ditanam bersama pokok durian ialah pisang, jambu batu, rambutan, limau dan betik.
Pisang selalunya di tanam sebelum pokok durian ditanam. Ia menyediakan teduhan untuk pokok durian dalam 2 hingga 3 tahun pertama. setelah 3 tahun, pisang perlu ditebang untuk memberikan ruang kepada pokok durian untuk membesar sempurna. Pisang yang sesuai menjadi teduhan kepada pokok durian antaranya ialah pisang saba, atau dikenali juga dengan nama pisang kebatu. Ini kerana ketahannya terhadap tanah yang kering dan cuaca yang berubah-ubah.
Penanaman tanaman selingan diantara pokok durian dapat menambahkan hasil pendapatan disamping dapat menjamin kebun durian terjaga dengan sempurna.
Rujukan:
1.http://www.cropsreview.com/durian.html
Durian
Durian
Kebelakangan ini pokok durian menjadi antara pokok yang paling ‘hot’ di nurseri kami. Semuanya mungkin berpunca dari menularnya artikel mengenai durian berbuah rendah yang amat popular berasal dari Thailand iaitu Monthong. Berikutan dengan itu sebagai nurseri yang membekalkan benih durian kami mulai dibanjiri dengan pelbagai permintaan dan pertanyaan mengenal pelbagai jenis durian yang kami bekalkan. Artikel ini bertujuan untuk berkongsi maklumat mengenai jenis-jenis durian yang agak dikenali ramai. Ia akan sentiasa dikemaskini dengan penambahan varieti durian.
1. Musang king
Musang king merupakan varieti durian yang berasal dari Malaysia. dikenali juga dengan nama ‘Mao shan wang’ dikalangan kaum cina. Ia mula didaftarkan pada tahun 1993 oleh Encik Wee Chong Beng dari Tanah Merah , kelantan. Mula didaftarkan dengan nama Rajah Kunyit dengan kod D197.
Ciri Buahnya berbentuk bulat bujur, kulit berwarna hijau muda, isi berwarna sangat kuning, isi tebal, rasa lemak, sangat manis dan sedikit rasa pahit. saiz buah sekitar 20cm panjang dan 15.5 cm lebar. Berat purata sebiji durian musang king sekitar 1.8 kg. Bentuk buahnya ovate dengan pangkal buahnya sedikit rata.Panjang tangkai lebih kurang 5 cm. Bahagian hujung buah berbentuk bulat. Pangsanya jelas kelihatan. Sangat senang dibuka apabila ia gugur dan masak sempurna. Ia merupakan buah durian premium yang menjadi kebanggaan Malaysia.
Menanam musang king memerlukan modal yang agak tinggi kerana harga benih durian yang ‘boleh tahan’ berbanding dengan benih buah-buahan lain. Ia boleh menjadi pelaburan yang menguntungkan dengan syarat kita mempunyai ilmu untuk mengenalpasti jenis benih yang betul agar tidak tersalah menanam varieti yang kurang menguntungkan.
1. Setelah pemilihan benih dilakukan dengan teliti, langkah pertama ialah dengan membersihkan tanah dari sebarang rumpai dan pokok-pokok yang mengganggu sinaran matahari. Benih musang king perlu ditanam ditempat yang mendapat sinaran matahari yang penuh.
2. Seterusnya gali lubang bersaiz 50cmX50cmX50cm untuk benih yang berketinggian lebih kurang 1 meter. Sebelum benih di tanam lubang yang telah sedia digali dibiarkan terkena sinaran matahari selama lebih kurang 2 hingga 3 hari bertujuan untuk mematikan bakteria yang terdapat dalam tanah.
3. Buka plastik polibag dan tanam benih pada paras tanah dalam polibag. Jangan menanam sehingga batang pokok tenggelam dalam tanah baru.Ini mungkin boleh menyebabkan batangnya buruk.
4. Sungkupan diperlukan pada bahagian umbi jika penanaman dilakukan di tempat yang terlalu kering seperti ditepi sawah. Ini bertujuan untuk mengelakkan air dari meruap dengan cepat dan mengeringkan benih.Penyiraman perlu dilakukan setiap petang agar benih kekal segar.
5. Setiap bulan baja organik perlu ditabur atau disiram di sekitar batangnya untuk pertumbuhan yang maksimum.
6.Setelah lebih kurang 3 bulan ditanam, bolehlah kita berikan baja kandang seperti tinja lembu atau tinja kambing. Berikan setiap bulan sekali dalam kuantiti sekitar 250g untuk menggalakkan pertumbuhan dan mempercepatkan proses berbuah. Baja kimia NPK juga digunakan.
Untuk penanaman ladang jarak yang paling ideal antara pokok ialah 10MX10M. Namun begitu jarak sekitar 7MX7M juga boleh dipertimbangkan.
Bilangan pokok untuk satu ekar ialah 40 hingga 50 pokok.
Untuk membeli benih musang king sila ke :
https://www.melur.com/…/anak-pokok-durian-musang-king-d197-…/
Rujukan:
1.http://animhosnan.blogspot.my/2011/…/durian-musang-king.html
2.http://belajarberkebun.com/cara-menanam-durian-musang-king.…
3.http://johorkaki.blogspot.com/…/5-tips-untuk-mengenalpasti-…
4.http://psv3.blogspot.my/p/halaman-pertanian.html
5.http://www.utusan.com.my/…/hasil-musang-king-lebih-cepat-1.…
6.http://www.bibitpohondurian.com/p/cara-menanam-bibit-durian…
7. https://www.melur.com/…/Panduan_Pengesahan_dan_Pencirian_Ket…