Lempoyang Hitam vs. Lempoyang Putih – Dari Perubatan Melayu Kuno ke Dapur Anda!

Noraida Arifin

Home » Blog » Noraida » Lempoyang Hitam vs. Lempoyang Putih – Dari Perubatan Melayu Kuno ke Dapur Anda!

Lempoyang hitam dan lempoyang putih merupakan dua variasi tumbuhan dari spesies Zingiber zerumbet, yang tergolong dalam keluarga Zingiberaceae. Lempoyang putih sering dikenali sebagai lempoyang sahaja, manakala lempoyang hitam juga dipanggil lempoyang merah. Nama vernakular lain termasuk shampoo ginger, pinecone ginger, atau awapuhi dalam bahasa Hawaii.

Kedua-dua jenis ini digunakan dalam perubatan tradisional, terutamanya untuk meningkatkan pencernaan, meredakan keradangan, dan sebagai tonik tenaga. Rizomnya mengandungi sebatian bioaktif seperti zerumbone, yang mempunyai sifat antioksidan dan antikanser. Dari segi penanaman, tumbuhan ini memerlukan tanah yang subur, lembap, dan bersaliran baik dengan cahaya matahari separa. Ia ditanam melalui rizom dan memerlukan penyiraman berkala serta perlindungan daripada cahaya matahari terik. Lempoyang hitam boleh dikenal pasti melalui rizomnya yang lebih gelap atau kemerahan, sementara lempoyang putih mempunyai rizom kekuningan pucat. Daun lempoyang hitam juga cenderung lebih gelap berbanding lempoyang putih.

Rizom lempoyang yang beraroma kuat sering digunakan sebagai perasa dalam masakan tradisional, terutamanya dalam hidangan berasaskan daging, sup, dan gulai. Ia memberikan rasa pedas, sedikit pahit, dan berbau wangi, menyerupai halia tetapi lebih tajam. Di Malaysia dan Indonesia, lempoyang digunakan dalam masakan seperti gulai, rendang, dan hidangan berempah untuk menghilangkan bau hanyir daging. Selain itu, ia juga digunakan dalam penyediaan jamu dan minuman herba. Lempoyang hitam lebih dikenali dalam perubatan tradisional.

Dalam manuskrip perubatan Melayu (kitab tib) MSS B15 (Kitab Sari Segala Ubat), warisan dari Kesultanan Pontianak, lempoyang digunakan untuk:

  • Mengubati masalah bayi yang suka menangis (mukasurat 5).
  • Dicampur dengan herba lain untuk mengatasi masalah ejakulasi pada lelaki (mukasurat 17).
  • Mengatasi masalah hidung tersumbat (mukasurat 33).
  • Mengatasi penyakit مالي (kerana ejaan ini tidak pasti, mungkin merujuk kepada ‘lesu’ atau ‘malai’ [malaise], rasa tidak sedap badan—pendapat peribadi yang memerlukan pengesahan pakar) (mukasurat 35).

Pengalaman Peribadi

Hanya ingin berkongsi sedikit pengalaman sebagai tukang kebun di nurseri herba. Dua atau tiga tahun lalu, sepasang suami isteri mengunjungi nurseri kami di Kota Tinggi. Sebaik sahaja masuk, mereka terus bertanya tentang pokok lempoyang (puyang), tanpa melihat-lihat tanaman lain terlebih dahulu.

Menurut mereka, anak kecil mereka menjadi lesu, tidak bertenaga, dan tidak mahu makan. Mereka telah berjumpa tok moh (bomoh) untuk mencari ubat. Tok moh tersebut menyarankan mereka mencari isi lempoyang, menumbuknya, dan memerah airnya untuk diberikan kepada anak mereka bagi meningkatkan selera makan.

Post 5 | #Ramadan1446

About Me

Noraida Arifin

Leave a Comment