Your Cart

CONTACT: (+6019) 477 9004

DAILY SHIPMENT

2022 tahun cemerlang sukan negara

ZURAIMEE ZAINAL | 2022-12-31 07:00:00 | www.sinarharian.com.my

PENCAPAIAN dipamerkan atlet, pasukan dan kontinjen negara di pentas antarabangsa sepanjang tahun 2022 disifatkan cemerlang dan membanggakan.

Namun begitu Timbalan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) (Strategik), Suhardi Alias juga menegaskan beberapa penambahbaikan perlu dilakukan bagi memastikan Malaysia mampu terus mencabar pada tahun 2023.

“Jadi saya minta semua persatuan sukan kebangsaan, atlet dan jurulatih bekerja bersama-sama serta menggembleng tenaga.

“Kita juga perlu improve seterusnya meningkatkan prestasi atlet negara apabila bersaing pada kejohanan yang akan berlangsung pada 2023,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Mengambil contoh pencapaian beregu badminton lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik muncul wakil pertama Malaysia merangkul gelaran juara dunia, Suhardi berkata, pencapaian kedua-dua pemain tersebut konsisten sebenarnya kerana dalam sukan akan berlaku prestasi turun dan naik.

“Sememangnya kita mengharapkan Aaron-Wooi Yik menghadirkan kilauan pingat emas dari Sukan Olimpik, namun apabila meraih kejuaraan dunia itu sudah cukup mengakhiri penantian 45 tahun.

“Jadi kita berpendapat Aaron-Wooi Yik dan Rexy Mainaky perlu benar-benar merancang kejohanan dan memberikan tumpuan kepada kejohanan spesifik kerana 2023 merupakan tahun memburu mata kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024.

“Ini fasa penting buat kedua-dua atlet ini dan seharusnya kita perlu terus memberikan sokongan kedua-duanya termasuk Pearly Tan-M Thinaah dan juga Lee Zii Jia yang kini berlatih bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM),” katanya.

Bagi Harimau Malaya kendalian Kim Pan-gon yang mengesahkan slot secara merit ke pusingan akhir Piala Asia 2023, Suhardi berkata, ini juga merupakan satu pencapaian luar biasa arena sukan negara.

“Cuma pasukan itu perlu digarap semula dari segi strategi dan kecergasan, dan dikekalkan pemain sedia ada kerana di dalam kalangan mereka telah wujud satu bentuk kombinasi keserasian yang mantap.

“Kita akan berhadapan dengan 23 pasukan terbaik Asia, bukan lagi Bangladesh lagi. Namun kita sebenarnya masih mempunyai masa untuk memantapkan pasukan ini.

“Bola sepak ini sebenarnya memerlukan keserasian dalam kalangan para pemain dan bukannya berapa banyak pemain bintang,” katanya.

Tambah Suhardi, pelari pecut, Muhammad Azeem Fahmi yang mencatat rekod kebangsaan acara 100 meter (m) dengan catatan 10.09 saat (s) ternyata memberi nafas baharu sukan olahraga negara.

Katanya, kejayaan di Kejuaraan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun di Cali, Colombia, Ogos lalu secara tidak langsung memperbaharui rekod Khairul Hafiz Jantan (10.18s) di Sukma Sarawak 2016.

“Kita berharap Azeem dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan di Amerika Syarikat setelah menyambung pelajaran di sana.

“Kita juga berharap bahawa beliau menyesuaikan diri dengan program latihan sepanjang berada di sana.

“Cuma dari segi prestasi Azeem ini kita berharap supaya dia tidak peak terlalu awal, sekiranya boleh dia meraih pencapaian yang positif, sedikit demi sedikit daripada mengharapkan dia melakar catatan di bawah 10s,” katanya.

Bagi Sukan Komanwel Birmingham 2022 pula Suhardi berkata, kontinjen negara berjaya meraih tujuh pingat emas melepasi sasaran enam pingat.

“Ini merupakan antara pencapaian dibanggakan tahun ini seperti dalam sukan angkat berat dan juga badminton.

“Walaupun angkat berat berjaya mempamerkan persembahan cemerlang, namun perlu ada satu pengukuhan terhadap persatuan yang dibelenggu dengan doping sebelum ini.

“Kita tidak mahu kegemilangan pasukan angkat berat dipacu Mohamad Aniq Kasdan dan Muhamad Aznil Bidin terjejas disebabkan gejala yang menjejaskan imej sukan tersebut,” katanya.

Sementara itu, pencapaian kontinjen negara di Sukan SEA Hanoi 2021 pula, Suhardi menegaskan, MSN memahami komuniti sukan mengharapkan kontinjen negara mengakhiri cabaran di atas Singapura.

“Kita berharap di Sukan SEA Kemboja 2023 nanti kita akan dapat memperbaiki pencapaian yang dilakukan di Hanoi 2021.

“Kita menyasarkan 36 pingat emas, 35 perak dan 75 gangsa, namun berjaya meraih 39 emas, 45 perak dan 90 gangsa, sekali gus melepasi sasaran ditetapkan sebelum ini.

“MSN percaya kontinjen negara mampu meraih keputusan lebih baik sekiranya tumpuan diberikan sepenuh terhadap acara masing-masing,” katanya.

Pencapaian di Sukan Para ASEAN (APG) Solo 2022, Suhardi berkata, kehadiran atlet muda menyaksikan kontinjen negara melepasi sasaran 16 pingat emas apabila meraih 36 emas.

“Biarpun kehadiran Muhammad Ziyad Zolkefli, S Suresh dan Datuk Abdul Latif Romly, namun atlet muda Para negara mampu menghasilkan keputusan positif,” katanya.

Mengenai skuad hoki negara, The Speedy Tigers, Suhardi mengakui anak buah Arul Selvaraj tidak mengecewakan apabila meraih slot pusingan akhir Piala Dunia India 2023 di Bhubaneswar – Rourkela selepas muncul naib juara Piala Asia.

“Ini juga pencapaian membanggakan apabila kita juga muncul juara Piala Sultan Azlan Shah buat kali pertama dalam tempoh 39 tahun.

“Saya percaya sekiranya skuad Arul Selvaraj berjaya melakar strategi yang betul di Piala Dunia India 2023, kemungkinan besar skuad negara boleh layak ke kejohanan lebih tinggi seperti Sukan Olimpik,” katanya.

Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Penghantaran Segera

Penghantaran harian

Katalog Pokok Terbesar

Lebih 400 jenis pokok

Mesra Pelanggan

Maklumbalas segera

Pembayaran Selamat 100%

FPX / MasterCard / Visa

WeCreativez WhatsApp Support
Tanya melalui WhatsApp!