Kancing Baju Merah

 

 

Kembali ke Direktori Tumbuhan 

Oleh / By:  Noraida Arifin

_________________________________________________________________________

Nama Tempatan: Kancing Baju Merah
Nama Saintifik: Corchorus capsularis
Nama Lain: Pokok jut, jute, pokok jelita
Famili: Malvaceae/Tiliaceae
Lokasi Dijumpai: Tumbuhan di Melur.com
Asal:: Malaysia

 

KETERANGAN:

Terdapat beberapa jenis tumbuhan yang biasa dijumpai di negara kita dikenali dengan nama kancing baju atau butang baju atau bunga butang. Nama ini selalunya digunakan selalunya berdasarkan ciri bunganya yang menyerupai butang baju. Antara tumbuhan yang dipanggil dengan nama kancing baju ialah Tridad procumbens (kancing baju hutan) , Gomphrena globosa (bunga butang) , Abutilon indicum (kancing baju raja) dan bidens pillosa (bunga kancing baju) dan Corchorus capsularis (kancing baju putih/merah) . Tumbuhan-tumbuhan yang dinamakan kancing baju ini mempunyai khasiat-khasiat perubatannya yang tersendiri.

Daripada kebanyakan tumbuhan kancing baju yang terdapat di Malaysia, yang paling popular digunakan dalam perubatan ialah kancing baju merah. Pokok kancing baju merah yang dikenali juga dengan nama pokok jelita merupakan sejenis tumbuhan yang sama dengan pokok jut yang ditanam untuk dijadikan tali terutamanya di Afrika, Bangladiesh dan India. Selain daripada serat batangnya yang boleh dijadikan tali, daunnya yang kaya dengan protein dijadikan sayur. Penggunaan daunnya yang dikeringkan sebagai teh pula dipraktikkan di negara jepun. Selain daripada itu, di negara barat pula ia digunakan untuk memekatkan sup. Buahnya yang muda serta pucuknya dicampuri bersama salad.

kancing baju merah merupakan sejenis tumbuhan yang boleh mencapai ketinggian sehingga 3. 5 meter. Kadar pertumbuhannya cepat. Ia membiak melalui biji benih. Bunganya adalah hemafrodit iaitu mempunyai dua jantina jantan dan betina. Pendebungaan dilakukan oleh serangga seperti rama-rama dan lebah. Tumbuhan ini boleh hidup subur di tanah liat tetapi yang agak berpasir. Ia memerlukan cahaya matahari yang sepenuhnya dan tidak boleh ditanam di bawah teduhan. Ia juga memerlukan air yang cukup dan tanah yang sentiasa lembap.

 

KEGUNAAN:

Dari aspek perubatan pula tumbuhan ini merupakan tumbuhan yang mempunyai khasiat perubatan yang amat tinggi. Antara ciri perubatan yang boleh didapati dari tumbuhan ini ialah, penambah selera makan, menguatkan fungsi jantung, pelawas, dan beberapa ciri perubatan yang lain lagi. Antara contoh penggunaannya untuk pengubatan ialah air rebusan kancing baju merah digunakan untuk rawatan di sentri (berak berdarah) , demam, dispepsia dan penyakit hati. Teh yang disediakan dari akar dan putik buahnya digunakan untuk merawat cirit birit. (rujukan:Chopra. R. N. , Nayar. S. L. and Chopra. I. C. Glossary of Indian MediCinal Plants (Including the Supplement) . Council of Scientific and Industrial Research, New Delhi. 1986 ) . Secara tradisinya di Malaysia ia digunakan untuk masalah di sentri, cirit-birit dan pengawalan cacing (kecacingan) .

Di Malaysia terdapat dua jenis variasi Corchorus capsularis iaitu yang dua jenis pokok Corchorus capsularis – pertama yang batang dan bahagian bawah daun kemerah-merahan atau unggu sedikit (kancing baju merah) dan yang kedua batang dan daun berwarna hijau (kancing baju putih) . Kancing baju merah lebih kerap digunakan untuk perubatan. Selain daripada nama kancing baju, Corchorus capsularis merah juga dikenali dengan nama pokok jelita. Ciri utama utk mengenali tumbuhan ini dalah capsul buahnya dan daun yang berekor di kedua-dua bahagian pangkal.

Di Malaysia bahan-bahan daripada pohon kancing baju digunakan dalam ubat periuk wanita lepas bersalin dan sebagai salah satu bahan maajun untuk orang lelaki. Ada juga yang mengamalkan makan sehelai dua daun kancing baju setiap hari bagi menjaga kesihatan. Khasiatnya, kalau baca dalam kitab-kitab perubatan lama, atau kalau mengikut orang tua-tua sangat menakjubkan. Daun yang disyorkan untuk amalan harian diambil daripada pokok yang belum berbunga petikan dari artikel oleh En Yahaya Hussain , E-group Myherba 13 apr 2005, Message #2709)

Petikan Artikel oleh En Yahaya Hussain , E-group Myherba, Message 2751:
saya sertakan khasiat pohon kancing baju sepertimana yang dinyatakan dalam kitab Tajul Muluk. Harap maaf jika terdapat kesilapan daripada terjemahan ini kerana sesetengah perkataannya saya kurang pasti bacaannya.

Drpd. Tajul Muluk ms132 (terjemahan terus dari tulisan jawi lama)

(Bab ini ubat sakit mata) Ambil akar kancing baju dan daunnya maka bubuh dalam batil tembaga bubuh air barang sedikit maka gosok akan akar kayu itu dan daunnya dalam batil itu hingga jadi hitam airnya dan sampahnya jangan dibuang direndam pada air juga. Maka pada ketika malam hendak tidur maka tampalkan bubuh air pada mata sakit itu semalam. Maka apabila jaga daripada tidur maka ambil buangkan nescaya afiat olehnya dianugerahi Allah taala. (Sebagai lagi) Ambil daun kancing baju itu dikeringkan pada naung maka tumbuk lumat-lumat maka serki dengan kain dimakan dengan sakar (gula) merah ketika pagi-pagi hingga tiga hari berturut-turut jadi kuat syahwatnya tiada dapat menghendaki oleh perempuan juga. Dan lagi pula jika diambil bunganya dan daunnya maka dimakan enam bulan nescaya rampat itu hitam. Dan jika akarnya dimakan setahun lamanya nescaya tiada tertuna oleh apa dan tiada tenggelam dalam air sehinggakan tubuhnya pun bersifat dengan sifat yang lain maka pantangnya daripada masam-masam dan kemudian daripada enam bulan keluar bau mulut seperti bau kasturi. (Sebagai lagi) Barang siapa tiada dapat dengan perempuan maka diambil daun kancing baju itu keringkan. Setelah dikeringkan maka ditumbuk umat-lumat dimakan dengan susu lembu tujuh hari lamanya jadi kuat zakarnya dan jikalau sentiasa makan tiap-tiap masa dimakannya nescaya tiada tinggal dalam tubuhnya suatu penyakit jua pun diberi Allah Taala terlalu banyak manfaatnya tiadalah disuratkan fakir sekadar mana yang dapatnya Wa’Llahu A’lam. (Sebagai lagi) Diambil akarnya yang belum berbuah maka ditaruh kering sudah maka tumbuk lumat-lumat diserki dengan kain yang halus kemudian dari itu maka ambil sakar empat dinar timbangan maka dimakan dengan susu lembu sekira-kira enam bulan lamanya maka jadilah ia dengan izin Allah Taala segala jin dan syaitan dalam hukumnya dan jika genap empat tahun memakan dia nescaya bertemu dengan Nabi Khidzir AlaihisSalam. (Sebagai lagi) Ambil daun kancing baju itu diperbuat maajun bagi adalah khasiatnya meringankan tubuh dan menghilangkan penyakit di dalam tubuh.

Kegunaan lain tumbuhan ini ialah sebagai jut yang digunakan untuk membuat guni dan tali. Serat yang terdapat pada batangnya diproses untuk dijadikan tali dan guni yang merupakan antara industri besar yang terdapat di Afrika, India dan bangladesh. Batangnya dituai ketika tumbuhan ini sedang berbunga dan direndam dalam air sehingga ia mereput untuk memudahkan proses mengeluarkan seratnya. Oleh kerana ia merupakan jenis tumbuhan yang mempunyai ranting yang banyak dan banyak bercabang, jika ia ditanam untuk seratnya , ia terpaksa ditanam rapat-rapat untuk mengurangkan keupayaan menghasilkan ranting dan cabang. Untuk proses pembuatan kertas pula , serat yang terhasil akan direbus selama 2 jam sebelum diproses untuk dijadikan kertas. Kertas yang terhasil akan berwarna kecoklatan. (rujukan:Chakravarty. H. L. The Plant Wealth of Iraq. )

_________________________________________________________________________

 

_________________________________________________________________________

Common Name: Kancing Baju Merah
Scientific Name: Corchorus capsularis
Other Name: Pokok jut, jute, pokok jelita
Family: Malvaceae/Tiliaceae
Location: Tumbuhan di Melur.com
Origin: Malaysia

 

 

DESCRIPTION:

 

USAGE:

 

_________________________________________________________________________

RUJUKAN / REFERENCES:

 

0 thoughts on “Kancing Baju Merah

  1. Di mana sy bole dptkn benih pokok ni…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *