fbpx
Your Cart

CONTACT: (+6019) 477 9004

DAILY SHIPMENT

Tumbuhan Tempatan Dan Nilai Ubatannya

TUMBUHAN TEMPATAN DAN NILAI UBATANNYA

herba

(Koleksi artikel Myherba egroup)
Oleh : NOR ROHANI MAT SALLEH
http://pkukmweb.ukm.my/~ahmad/tugasan/s3_99/n_rohani.html

Negara Malaysia memang terkenal sebagai sebuah negara yang kaya dengan pelbagai alam flora. Flora yang tumbuh segar di hutan tropika kita selama berabad-abad lamanya itu menyimpan bertimbun rahsia perubatan. Malaysia memiliki tidak kurang dari 7000 spesies tumbuhan yang dikira dapat menghasilkan unsur-unsur perubatan. Setiap pepohon berpotensi bermanfaat bagi kepentingan manusia. Penggunaan tumbuhan di dalam bidang perubatan tradisional telah lama berlangsung sejajar dengan kewujudan manusia itu sendiri dan diamalkan sebagai rawatan utama atau pilihan oleh semua masyarakat dan kaum. Kini, tumbuhan ubat-ubatan telah memainkan peranan yang penting di dalam proses penemuan ubat-ubatan moden bagi pengubatan pelbagai penyakit dari demam siput (snail fever) hi ngga ke AIDS.

Antara tumbuhan yang memang diketahui khasiatnya ialah pokok Patawali atau juga dikenali sebagai akar seruntun di sesetengah tempat Nama sainsnya Tinospora Crispa Miers dan berasal dari keluarga Menispermaceae. Patawali mudah dikenali melalui batangnya yang berkerutu, daunnya yang lebar dan hidup menjalar di atas pagar. Rasanya pahit bukan kepalang tetapi nilai khasiatnya amatlah tinggi dari segi perubatan. Batang Patawali digunakan untuk merawat sakit perut, demam, tekanan darah tinngi, kencing manis dan juga penyakit kelamin dikenali sebagai gonorea. Tumbuhan ini mujarab bagi mengatasi masalah cacing dikalangan kanak-kanak dengan cara merebus batangnya, ditapis dan diminum segelas sehari. Air rebusan juga boleh digunakan untuk membersihkan darah, dan mujarab untuk membunuh kuman dan menyembuhkan luka. Kajian saintifik yang dijalankan ke atas Patawali menunjukkan tumbuhan itu mengandungi sejenis bahan yang dipanggil jattrorrhizine yang dikatakan mujarab untuk menjauhkan penyakit demam malaria.

Daun Lemuning, yang dikenali sebagai Vitex Negundo Linn dari segi saintifik dan berasal dari keluarga Verbenaceae, adalah sejenis pokok yang terkenal mempunyai khasiat untuk wanita selepas bersalin. Wajah pucat dan sakit-sakit di bahagian ari-ari adalah diantara masalah-masalah yang sering dialami oleh kaum wanita selepas bersalin. Air rebusan daun lemuning merupakan satu kaedah berkesan untuk membantu menyerikan wajah muka, sekali gus memulihkan kecantikan. Ia juga digunakan untuk mengubati bisul, meredakan batuk serta mengurangkan kahak.

Mengkudu pula adalah sejenis tumbuhan yang biasanya tumbuh liar dikawasan hutan, belukar atau tanah terbiar. Terdapat tiga jenis pokok mengkudu, iaitu Morinda Citrifolia Linn, Morinda Elliptica Ridl dan Morinda Umbellata Linn. Ketiga-tiga jenis mengkudu ini berasal dari keluarga Rubiaceae dan mempunyai nilai dan kegunaannya yang tersendiri dari segi perubatan. Morinda Citrifolia Linn, buahnya boleh dimakan apabila masak untuk membersihkan darah serta mengawal penyakit kencing manis. Buah ini juga berkesan untuk menurunkan tekanan darah tinggi. Daunnya pula dilayur dan didemah pada dada dan perut untuk mengubati demam dan sakit di dalam perut. Morinda Elliptica Ridl yang mempunyai daun yang kecil dan tirus serta buahnya kecil berbanding dengan jenis yang lain.

Pucuk mengkudu ini enak dimakan sebagai ulam untuk menambah selera serta mengubati cirit-birit, penyakit taun dan sakit kepala, terutamanya semasa demam dan gastrik, serta ia merupakan cara tradisional yang digunakan oleh orang-orang kampung untuk merawat demam malaria. Buasir sejenis penyakit yang amat menyakitkan. Daun mengkudu Morinda Elliptica Ridl merupakan satu cara berkesan dalam bidang tradisional untuk mengubatinya. Morinda Umbellata Linn pula digunakan dalam perubatan tradisional untuk mengubati penyakit kulit. Akarnya direbus dan disapu pada kulit manakala daunnya direbus untuk diminum sebagai ubat cacing.

Satu lagi jenis tumbuhan tempatan yang amat berguna dan mempunyai nilai yang tinggi dari segi perubatan, terutamanya bahagian daun dan akarnya. Kaduk atau nama sainsnya piper sarmentosum roxb berasal dari keluarga piperaceae adalah sejenis tumbuhan tempatan yang mudah ditemui. Ia mudah ditanam dan hidup subur terutamanya di kawasan-kawasan yang lembap dan hidup liar. Air yang direbus dengan akar pokok kaduk dapat melawaskan kencing. Daunnya pula mujarab untuk merawat demam malaria dengan cara meminum air rebusannya. Air rebusan itu juga berkhasiat bagi melegakan batuk-batuk, selesema, sakit pinggang, sakit gigi dan sengal-sengal tulang.

Daun kari merupakan ramuan penting untuk pelbagai masakan tempatan, apatah lagi kari. Tumbuhan renek ini yang berasal daripada spesies murraya koeniggi dalam keluarga rutaceae mengeluarkan daun-daun kecil berwarna hijau dan berbunga putih. Kulit pokok, daun dan akar pokok daun kari digunakan sebagai tonik. Di samping itu, daunnya juga berkesan dalam mengatasi masalah haid dan gonorea, menghilangkan rasa loya dan pening-pening lalat bagi wanita mengandung dan menyembuhkan penyakit cirit-birit dan penyakit berak darah yang juga disebut disentri. Daun kari dan akarnya juga baik untuk peredaran darah dan boleh bertindak sebagai sedatif.

Jangkitan di bahagian perut atau usus mendedahkan seseorang itu kepada ulser- luka di bahagian kulit atau membran bermukus. Tabiat merokok serta pengambilan alkohol dan ubat aspirin yang berlebihan menjadi punca penyakit itu, selain pedas. Pendarahan yang berlebihan boleh membawa kepada kekurangan darah dan penyakit tekanan darah rendah. Jus aloe vera merupakan rawatan paling mujarab untuk mengubati ulser. Amalkan setiap kali sebelum makan dan sebelum tidur. Jadam ialah getah beku dari aloe vera. Masyarakat timur telah lama menggunakan jadam sebagai penawar busung. Selain daripada itu juga jadam mempunyai banyak kegunaan lain dalam ubatan tradisional dan kosmetik asli.

Sirih digemari sebagai kudapan di kalangan orang-orang tua. Sirih mempunyai nama yang berbeza-beza, antaranya sirih carang, camai, kerekap, serasa, cabe, kengyek atau kerak. Piper Betel Linn merupakan nama saintifik bagi pokok sirih yang berasal dari keluarga Piperraceae. Dalam rawatan tradisional, sirih dimakan bersama gambir untuk mengatasi cirit-birit. Ia juga digunakan untuk merawat hidung berdarah. Daun sirih juga berkesan untuk meredakan sakit gigi. Malah ia juga berkesan untuk melegakan demam panas. Alahan terhadap udara panas atau makanan-makanan tertentu boleh menyebabkan seluruh badan terasa gatal dan miang serta ditumbuhi bintil-bintil merah dikenali sebagai gelegata. Penyakit ini boleh diatasi dengan menggunakan daun sirih yang dilayur diatas api kemudian disapu pada kulit ketika daun masih panas. Daun sirih juga boleh menghilangkan masalah gatal-gatal di bahagian kemaluan, dimana air rebusannya digunakan untuk mencuci di bahagian sulit yang gatal.

Tumbuhan yang dikenali sebagai Tongkat Ali sememangnya amat terkenal dikalangan masyarakat melayu sebagai tonik seks. Nama sainsnya ialah Eurycoma longfolia, bukan sahaja berfungsi sabagai penguat tenaga batin lelaki, tetapi dalam perubatan tradisional tongkat Ali lebih luas digunakan sebagai ubat malaria dan darah tinggi. Selain itu, tongkat Ali juga digunakan sebagai ubat dropsi,iaitu penyakit yang menghasilkan penakungan air dalam tisu dan bahagian badan yang terbabit menjadi kembung air atau dipanggil edema (busung).

Jika Tongkat Ali berguna untuk merawat masalah lelaki, maka pokok Kacip Fatimah atau nama sainsnya Labisia Pumila pula digunakan untuk merawat sakit puan. Bahagian akar sering digunakan untuk merawat sakit puan, cirit-birit dan kembung perut.

Senduduk sejenis tumbuhan renek yang tumbuh liar di kawasan terbiar. Berasal dari keluarga Melastomaceae, tumbuhan ini yang dikenali sebagai keduduk atau akar keduduk hitam, bernilai tinggi dalam perubatan tradisional. Daun senduduk, yang kasar dibahagian bawah, merupakan penawar bagi wanita-wanita yang mengalami masalah akibat penyakit keputihan. Air rebusan daun senduduk juga berkesan untuk meredakan cirit-birit. Salah satu cara tradisional untuk menghilangkan parut-parut itu ialah dengan menggunakan daun dan akar senduduk. Kaedah itu juga berkesan untuk mengubati buasir. Satu lagi kegunaan senduduk, yang dikenali sebagai Melastoma Malabathricum Linn dari segi saintifik, ialah untuk melegakan sakit gigi. Akarnya direbus dan airnya digunakan untuk berkumur. Air rebusan akar senduduk juga mujarab untuk dibuat mandi bagi melembutkan kaki serta membuang angin, sekali gus menyegarkan badan.

Pokok inai merupakan sejenis tumbuhan renek dari spesies lawsonia terma sekeluarga dengan lythraceae. Ia merupakan bahan penting dalam perubatan untuk meredakan demam, sakit kepala, gigitan serangga berbisa, sengal-sengal sendi dan juga penyakit kulit dan amat mujarab untuk mereka yang menghadapi masalah badan berbau. Kulit pokok, daun dan buah inai juga banyak digunakan dalam rawatan tradisional untuk mengubati pelbagai penyakit.

Bunga tahi ayam sejenis tanaman yang biasanya tumbuh liar di tepi jalan atau di kawasan tanah terbiar. Berasal dari keluarga Verbenaceae, bunga tahi ayam yang dikenali sebagai Lantana Camara Linn, dari segi saintifiknya, berkesan dalam perubatan tradisional untuk mengubati penyakit sengal tulang. Air ramasan daunnya juga mujarab untuk meredakan demam terutamanya dikalangan kanak-kanak. Satu lagi kegunaannya yang juga dikenali sebagai bunga asam senyur disesetengah tempat, ialah untuk mengubati luka atau ulser. Kaedah yang sama juga turut digunakan untuk meredakan bengkak di mana-mana bahagian tubuh badan.

Kemunting Cina atau Tapak Dara adalah berkerabat dengan pohon Madagaskar periwinkle (catharantus roseus G Don). Pokok ini banyak terdapat di kawasan tropika. Hidup segar dan liar di daerah pantai. Terdapat dua jenis iaitu yang berbunga merah jambu dan berwarna putih. Madagaskar periwinkle mempunyai zat (vinblastin dan vinkristin) yang sudah dibuktikan boleh mengubati penyakit Hodgkin dan leukimia.

Mungkin ramai di antara kita tidak pernah mendengar nama ubi gadong. Ia juga dikenali dengan nama lain seperti ubi nasi, tuba ubi, ubi cerok, ubi merah, ubi kendudok, dan ubi kipas. Nama saintifik, iaitu Dioscorea sp. Terdapat 19 spesies termasuk Dioscorea hispida, Dioscorea piscatorum dan Dioscorea alata. Setiap spesies berbeza dari aspek fizikal dan kimia diantara satu sama lain. Dioscorea hispida mempunyai ubi yang berwarna kuning, ubi Dioscorea piscatorum berwarna kemerahan, dan ubi Dioscorea alata pula berwarna kuning kemerahan. Apa yang aneh mengenai ubi ini ialah ubinya beracun. Ubi ini dijadikan sebagai racun ikan atau tuba ikan. Kajian saintifik menunjukkan bahawa ubi ini mengandungi sejenis sebatian yang beracun, dioscorine iaitu sejenis alkaloid yang larut di dalam air. Ubi ini kaya dengan bahan yang disebut steroid. Steroid ialah sumber asli yang penting dalam penghasilan ubatan dan hormon. Saponin ini bersifat anti agregasi platlet iaitu saponin boleh menghalang pengetulan platlet di dalam darah. Secara tidak langsung saponin dapat menghalang penyakit darah membeku dalam saluran trombosis. Steroid juga boleh diproses untuk dijadikan hormon seks, pil pencegah hamil dan bahan kortison.

KESIMPULAN

Bagi negara kita, pihak kerajaan harus mempersiapkan infrastruktur industri farmaseutikal agar kita sendiri berupaya mengeksploitasi sumber-sumber hutan tropika kita. Bidang berkaitan seperti farmakognosi, farmakologi, teknologi farmaseutikal, fitokimia, bioteknologi dan farmakokimia harus sama-sama dibina. Jika tidak besar kemungkinan orang asing akan melakukan penyelidikan ke atas tumbuhan tempatan di hutan tropika kita seperti yang berlaku di beberapa negara lain.

RUJUKAN

Ramli Abd. Samad. 1996. Industri Farmaseutikal Untuk Mengeksploit Sumber Hutan. Dewan Kosmik, Disember: 6-8.
Mastika. 1997. Tips Kesihatan. Mac:20-23
Mastika. 1996. Tips Kesihatan. September: 16-17
Mastika . 1999. Tips kesihatan. Februari : 70-75
Mustafa Ali Mohd. 1993. Ubi Gadong : Ubi Beracun yang Berubat. Dewan Kosmik, April: 30-31.
Dr. Ong Hean Chooi. 1998. Tumbuhan Semulajadi Mampu Rawat Jantung. Dewan Kosmik, Julai: 18-21.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Penghantaran Segera

Penghantaran harian

Katalog Pokok Terbesar

Lebih 400 jenis pokok

Mesra Pelanggan

Maklumbalas segera

Pembayaran Selamat 100%

FPX / MasterCard / Visa

WeCreativez WhatsApp Support
Tanya melalui WhatsApp!