Posted on

Potensi Moringa Dan Khasiatnya

Moringa (Kacang Kelor )

Pokok Moringa (Kelor)

Oleh Noraida Arifin

Moringa dikenali di Malaysia dengan pelbagai nama vernakular. Di bahagian utara semenanjung  ia dikenali dengan nama Kacang Kelor atau Merunggai. Di bahagian  pantai timur ia lebih dikenali dengan nama Gemunggal. Ia juga dikenali dengan nama Remunggai, Munggai dan nama-nama lain lagi mengikut daerah.  Di luar dari Malaysia ia dipanggil Drumstick tree, Moringa, Horseradish tree, Ben oil tree, Benzoil tree  dan 400 nama vernacular lain mengikut negara. Hakikatnya, ia  merujuk  kepada sejenis tumbuhan dari keluarga Moringaceae. Ia merupakan sejenis pokok yang cepat membesar. Ia boleh mencapai ketinggian antara 10 hingga 12 meter. Diameter batangnya sahaja boleh mencapai sehingga 1.5 kaki. Moringa cepat berbunga. Selalunya jika di kawasan tropika, bunga pertama akan dihasilkan kira-kira 6 bulan selepas ditanam. Walaubagaimanapun ia mungkin lambat sedikit jika di tanam di kawasan yang beriklim lebih sejuk. Bunganya agak wangi berwarna putih kekuningan. Dalam keadaan yang optimum , seperti dalam iklim khatulistiwa, bunganya boleh terhasil sepanjang tahun.

 

Buah Moringa bergantungan pada dahannya. Ia berbentuk panjang dengan kapsul-kapsul yang mengandungi bijinya. Buahnya berwarna hijau ketika muda dan menjadi coklat gelap apabila matang. Biji benihnya berwarna coklat gelap, mempunyai sayap dan disebarkan melalui angin dan air. Pemangkasan perlu dilakukan setiap tahun untuk terus menggalakkan pertumbuhan pokok moringa.

 

Moringa berasal dari  kawasan selatan lereng banjaran Himalaya, Iaitu kawasan utara Negara India. Ia ditanam kerana kegunaannya sebagai sayur-sayuran. Buahnya yang muda, berbentuk seperti kekacang di jadikan sayuran. Buahnya boleh dicampur ke dalam masakan seperti kari dan dalca. Ia juga boleh direbus dan dijadikan ulam bersama sambal belacan. Pucuknya menjadi sayuran yang sangat sedap apabila di goreng bersama telur.

 

Setakat artikel ini ditulis (2016), India adalah negara pengeluar moringa paling utama dengan penghasilan sekitar 1.1 hingga 1.3 juta tan buah Moringa setiap tahun, meliputi kawasan penanaman seluas 380km persegi. Moringa boleh ditanam sebagai tanaman kekal ataupun tanaman semusim. Ia boleh dibiakkan dengan cara semaian biji benih ataupun keratan batang. Jika moringa di tanam untuk penghasilan pucuknya sebagai sayur-sayuran, jarak penanaman moringa ialah 15 X 15cm atau 20X20cm. Lorong di antara baris diperlukan untuk memudahkan penjagaan pokok dan penuaian hasil. Moringa juga boleh ditanam sebagai tumbuhan pagaran, sekaligus ia boleh dimanfaatkan sebagai sayuran yang sangat berkhasiat dalam gizi makanan kita.

 

Tonton documentari Discovery Channel tentang Moringa di sini.

 

Kegunaan Moringa

Moringa dikenali dengan tumbuhan pelbagai guna kerana hamper kesemua bahagiannya boleh digunakan sebagai makanan. Bahagian tumbuhan ini yang boleh dimakan ialah:

  1. Buahnya yang masih muda. Buah ini juga dikenali dengan nama drumstick kerana bentuknya. Di kawasan Asia tenggara buahnya yang masih muda dimasak bersama kari. Ia dimasak sehingga lembut. Walaupun dimasak lama dengan suhu yang tinggi kandungan vitamin c dalam buah moringa masih tinggi. Buahnya merupakan sumber kepada serat, Kalium, Magnesium dan Mangan.
  1. Bahagian yang paling berkhasiat pada pokok Moringa ialah daunnya. Ia kaya dengan vitamin B, vitamin C , provitamin A. Zat-zat lain yang terdapat pada daunnya ialah beta karotina, vitamin K, Magnesium, Mangan dan protein. Kandungan zat yang terdapat dalam 100g daun Moringa segar yang dimasak menyamai kandungan zat  di dalam makanan-makanan lain yang bergizi tinggi. Daunnya biasa di goreng  dengan sedikit minyak masak seperti penyediaan bayam. Ia juga boleh direbus dan dijadikan sup. Daunnya juga boleh dikeringkan dan dijadikan serbuk dan ditabur  ke dalam sup atau masakan lain.
  1. Buahnya yang telah tua. Biji yang didapati dari buahnya yang telah tua boleh dimakan menta atau dipanggang. Ia mengandungi kandungan vitamin C yang tinggi. Bijinya juga boleh dikunyah untuk membantu melegakan masalah gastrik.

Moringa Oleifera Seeds (1kg)
Biji Moringa

  1. Minyak yang dikeluarkan dari bijinya. Bijinya yang telah tua boleh menghasilkan minyak yang boleh dimakan dan merupakan salah satu alternatif kepada minyak masak yang lain. Minyak yang terhasil dari bijinya yang telah tua merupakan salah satu sumber biodiesel yang berpotensi.
  1. Akar yang diparut dijadikan perisa untuk di tabur atas makanan.
  1. Bunganya juga boleh dijadikan sayuran dan dimasak dengan menggunakan kaedah yang sama dengan pucuknya.

Moringa dari perspektif perubatan herba

Daun Moringa juga kaya dengan anti-oksidan. Sebagaimana yang diketahui umum, anti-oksidan akan membantu badan kita menentang radikal bebas yang menjadi penyebab penyakit seperti kanser, jantung dan kencing manis. Dalam perubatan herba Moringa digunakan:

  1. Sebagai penambah zat untuk masalah kekurangan vitamin terutamanya kepada ibu hamil dan ibu yang sedang menyusukan bayi. Kandungan zat yang tinggi yang terdapat pada daun dan buahnya dapat membantu ibu hamil dan menyusukan mendapat zat tambahan. Tambahan pula cirri pokoknya yang dapat tumbuh pada persekitaran semi arid ( persekitaran panas dan menerima hujan yang sedikit) dapat membantu masalah kekurangan nutrisi di negara-negara miskin.
  2. Menurunkan kandungan gula dalam darah. Dalam satu kajian 30 orang wanita telah diberikan sebanyak 7g serbuk daun moringa setiap hari selama 30 hari. Keputusan kajian mendapati paras gula dalam darah mereka telah menurun sebanyak 13.5 %
  3. Daun, buah dan biji Moringa sebagai penawar radang. Radang atau inflammation berlaku disebabkan oleh tindakbalas semulajadi tubuh kita terhadap jangkitan atau kecederaan. Ianya perlu sebagai satu mekanisme pertahanan badan. Cuma masalah akan timbul apabila radang ini berterusan untuk tempoh yang lama. Kajian membuktikan daun, buah dan biji moringa dapat mengurangkan kesan keradangan. Walaubagaimanapun setakat ini kajian klinikal dibuktikan terhadap haiwan dan tidak dilakukan ke atas manusia lagi.
  4. Daun moringa untuk menurunkan kadar kolesterol.

Daun Moringa

Rujukan

  1. Asian Pac J Cancer Prev. 2014;15(20):8571-6.

 

Produk Moringa Oleifera

  1. Teh Moringa
  2. Serbuk Moringa
  3. Biji Moringa