Pakawali Tumbuhan Berkhasiat

Post
Herba Kering

Sumber: Mingguan Malaysia: 5/8/01
Oleh: Muhammad Benjamin Drewe

 

patawali
Tabiat menggemari makanan manis telah menyumbang kepada peningkatan kadar kejadian masalah berkaitan gula seperti diabetes, kegemukan dan banyak lagi masalah metabolisme dan hormon lain. Justeru, dalam kehidupan serba moden ini, mungkin ada benarnya nasihat lama
mengatakan sesetengah makanan dan tumbuhan pahit itu baik untuk kesihatan. Tanpanya, sistem pencernaan dan hormon badan kita menjadi tidak kesimbang.

Jadi tidaklah begitu memeranjatkan bahawa hutan hujan tropika ditumbuhi banyak jenis pokok pahit, yang menjadi sebahagian makanan utama kaum Orang Asli. Sememangnya, dalam kebanyakan sistem perubatan herba di serata dunia, pokok pahit di anggap sebagai pengimbang
pemakanan yang menyejukkan tubuh dan penawar bisa dan toksik.

Dalam kaedah perubatan herba Barat, bahan herba pahit dianggap sebagai memainkan peranan utama dalam perubatan pencegahan. Umumnya, bahan herba pahit berfungsi dengan menambah selera, merangsang enzim pencernaan dan perembesan hempedu saripada hati, serta meningkatkan penghasilan insulin.

PAKAWALI atau Tinospora cordifolia merupakan sejenis pokok tropika yang terkenal dengan rasa pahitnya dan tumbuh menjalar.Ia mudah dikenali daripada daunnya yang berbentuk jantung dan batangnya yang berduri. Sebagai sejenis tumbuhan yang tahan lasak, tumbuhan ini
banyak ditemui di kampung-kampung dan taman-taman. Malah, pokok ini akan menakhluk pagar anda jika dibiarkan begitu saja! Banyak jenis bahan kimia menarik telah didapati pada pokok ini dan ia telah menjadi bahan kajian.

Ayurveda dan jamu

Pakawali digunakan dengan meluas dalam keadaan perubatan ayurveda, iaitu dalam sediaan herba untuk melawan jangkitan dan radang. Ia juga digunakan dalam rumusan tonik penambah tenaga dan pengubat lemah syahwat lelaki. Dalam jamu Indonesia, ia digunakan dengan meluas
dalam pelbagai tonik dan untuk mengurangkan kandungan gula dalam darah.

Pelindung hati

Penyelidikan saintifik di India tlelah menunjukkan bahawa pakawali meningkatkan fungsi enzim hati, melindungi sel daripada aktiviti radikal bebas dan berkesan dalam rawatan penyakit hati kronik dan juandis (penyakit kuning)

Meningkatkan sistem imun

Sesetengah ujian menunjukkan bahawa ia mempunyai kesan terhadap peningkatan sistem imun dengan meningkatkan aras antipengoksida. Dalam satu ujian yang membandingkan pakawali dengan antibiotik melibatkan jangkitan E. Coli pada mencit, haiwan yang dirawat dengan
pakawali menunjukkan tahap penyembuhan yang lebih baik, bukan kerana sifat antibakteria pada pakawali tetapi peningkatan imun pada haiwan ujian.

Pakawali juga telah diuji untuk menilai kemampuannya memperbaiki tindakbalas terhadap takanan pada haiwan apabila terkena rangsangan memudarat. Keputusannya sama dengan ginseng dan herba tempatan kita tongkat ali – ia meningkatkan ketahanan terhadap tekanan dan mengurangkan keresahan.

Para penyelidik di India yang mengkaji kesan penawar ulser (borok) pakawali apabila digabungkan dengan pegaga (Centella asiatica), mendapati tindakan pelindung terhadap ulser (keborokan).

Diabetes

Di kampung-kampung di serata Asia, pokok menjalar ini direbus setiap hari secara berasingan ataupun dicampur dengan herba lain dan airnya diminum sebagai penawar tradisional untuk diabetes.

Penyelidikan yang dijalankan oleh Dr. Hamdan Noor dan rakan-rakannya dari Jabatan Biologi, Universiti Putra Malaysia (UPM), berhubung pakawali dan kesannya terhadap kandungan gula dalam darah mendapati, dengan kawalan makanan pakawali amat berkesan sebagai penawar
diabetes pada peringkat awal. Bagaimanapun, ia tidak harus digunakan ketika menerima insulin kerana ia boleh memporak-perandakan keseimbangan gula.

Dalam hal pokok pahit, ada baiknya kita turut memasukkan herba pokok pahit ke dalam makanan harian keluarga kita. Seperti kata pepatah, yang pahit itu manis akhirnya, manakala yang manis itu pahit akhirnya.

Ebooks

Leave a Reply

Your email address will not be published.