Posted on

Tingkatkan Hasil Kelapa Sawit Dengan Baja-Bio W20

BAJA-BIO W20

W20 (dulu dikenali Warisan 2020) ialah baja-bio keluaran LKB yang dirumus menggunakan campuran baja organik dan mikro-organisma terpilih. Tidak seperti baja-bio yang lain, W20 menggunakan mikro-organisma yang dikenalpasti mampu membawa kebaikan kepada tanaman anda. Ianya dikultur secara khas menggunakan teknologi daripada Taiwan. Di antara mikro-organisma tersebut ialah dari jenis fototropik, mikrob asid laktik, yis, mikrob aktinomit dan fungus berfilamen. Baja-bio W20 untuk tanaman kelapa sawit adalah berbentuk serbuk dan dibungkus dalam pek 10kg. Setiap pokok kelapa sawit hanya memerlukan kurang daripada 1kg (sekitar 500 gram) untuk setiap kali pembajaan dan strukturnya dalam bentuk serbuk memudahkan ia larut ke dalam tanah dengan segera. Kuantiti yang sedikit juga membantu memudahkan proses pembajaan serta mengurangkan kos pengangkutan dan penyimpanan. Hanya dengan menggunakan baja-bio W20 anda tidak lagi perlu menggunakan baja-baja lain seperti MOP, RP, TSP, Kieserite, Borate dan lain-lain. Bio-baja W20 akan melengkapkan keperluan unsur-unsur makronutrien dan mikronutrien. Kehadiran mikro-organisma bukan sahaja membantu penyerapan nutrien oleh akar malah ia juga membantu menguatkan daya-tahan penyakit. Hubungi kami untuk maklumat lanjut produk ini.

 

Photo 1a: Baja-Bio W20 dibungkus dalam pek 10kg.

 

Photo 1b: Baja-Bio W20 Ditabur Pada Pangkal Pokok Sawit. Warnanya Yang Cerah Memudahkan Mengenalpasti Pokok Yang Telah Dibaja. Proses Pembajaan Dapat Dilakukan Dengan Pantas.

Prestasi Kelapa Sawit

Baja-bio W20 telah digunakan oleh pengusaha ladang kelapa sawit lebih 10 tahun di Malaysia. Di antara kelebihan menggunakan baja-bio secara umum ialah peningkatan hasil pengeluaran. Bagi baja-bio W20 kewujudan mikro-organisma yang telah dipilih melalui pengkulturan lebih menunjukkan peningkatan hasil serta daya tahan penyakit. Melalui pemerhatian pada hasil plot ujian yang dilakukan bersama beberapa pengusaha-pengusaha, penggunaan baja-bio W20 membantu meningkatkan berat purata tandan. Kelebihan lain yang diperhatikan ialah keupayaan baja-bio W20 membantu pembungaan pokok-pokok kelapa sawit yang terbantut atau "pondan". Kami tidak boleh mendedahkan nama syarikat-syarikat ladang kelapa sawit yang turut serta dalam ujian-ujian tersebut tetapi kami boleh berkongsi sebahagian daripada data-datanya. Lokasi tapak-tapak ujian ini ialah di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Indonesia.

 

Kes 1: Kalimantan, Indonesia

 

Photo 2: Carta-carta Prestasi Baja-Bio W20. Lokasi di Kalimantan, Indonesia

 

Photo 3: Scatter Plot: Panen (Yield) - W20 vs Control

Indonesia merupakan lokasi pengguna baja-bio W20 terbesar disebabkan keluasan ladang-ladang kelapa sawit di situ. Ujian yang dilakukan di sebuah ladang milik syarikat swasta di Kalimantan menunjukkan peningkatan panen (yield) pada bulan-bulan terakhir konsiten dengan peningkatan berat purata buah.

 

Kes 2: Sabah

 

Di antara kesimpulan-kesimpulan daripada ujian ini, penggunaan baja-bio W20 (ketika itu baja-bio Warisan 2020) membantu meningkatkan berat purata tandan daripada 14-15 kg kepada 18kg. Pemerhatian juga mendapati lebih daripada 50% pokok-pokok kelapa sawit "pondan" mula mengeluarkan buah setelah penggunaan baja-bio W20. Malah ada sesetengah kawasan mempunyai jumlah pokok-pokok sawit yang berbuah mencapai 80%.

 

 

Perbandingan Harga

Dari segi kos, baja-bio W20 boleh menyaingi kos penggunaan baja tunggal atau majmuk secara langsung (hubungi kami untuk info harga) dan kos tidak langsung melalui penjimatan pada kos buruh, penyimpanan dan pengangkutan. Baja-bio W20 mengekalkan kuantiti penggunaan sepanjang umur kelapa sawit pada jumlah yang rendah. Kewujudan mikro-organisma yang membantu penyerapan nutrien sehingga 80% menyumbang kepada kelebihan ini. Manakala penyerapan bagi penggunaan baja kimia adalah sekitar 30% dan selebihnya akan hilang.

Photo 4: Jadual Cadangan Pembajaan (baja tunggal) & Kos Semasa

 

Gambar-gambar Yang Menunjukkan Prestasi Baja-bio W20 (Kelapa Sawit)

 

 

Baca info lanjut berkenaan baja-bio W20 untuk tanaman lain disini.

 

Posted on

Baja

Baja

Hari ni saya nak kongsi sikit tentang topik baja. Apa itu baja & bagaimana kandungan yg terdapat dalam baja boleh membantu tumbesaran tumbuhan. Kalau ikut tarifan dari wikipedia, baja boleh wujud daripada bahan semulajadi atau pun sintetik. Sekiranya dibekalkan kepada tanah ianya boleh memberi bahan nutrien yang penting kepada tumbuhan. Kita biasa dengar orang sebut baja NPK terutama masa nak beli pokok atau baja. Sebelum saya hurai sikit pasal NPK, saya nak bagitau nutrien-nutrien atau zat-zat yg diperlukan oleh tumbuhan terbahagi kepada tiga utama iaitu a) Nutrien makro b) Nutrien makro sekunder dan c) Nutrien mikro.

Nutrien Makro

Terdiri daripada tiga unsur utama iaitu Nitrogen (N), Phosphorus (P) dan Potassium (K). Saya masih gunakan istilah bahasa Inggeris sebab nak tunjukkan macamana huruf N & P tu datang. Sebab kalau dalam bahasa Melayu Phosphorus ialah Forforus, Dan Potassium pulak Kalium dalam bahasa Melayu. Konfius?? 🙂

Kalau ikut wikipedia, nutrien makro ni diperlukan untuk daun walaupun sebenarnya ada banyak lagi fungsi lain. Jadi disinilah bermulanya istilah baja NPK atau NPK rating. NPK rating digunakan untuk mengkelaskan baja mengikut kandungan ketiga-tiga unsur tadi (NPK).

Contoh baja NPK 10-10-10 bermaksud baja tersebut mengandungi 10% N, 10% P & 10% K mengikut berat. Contoh lain: 23kg baja NPK 16-4-8 mengandungi 3.6kg Nitrogen (16% dari 23kg), 0.9kg Forforus (4% dari 23kg) dan 1.8kg Kalium (8% dari 23kg).

Nutrien Mikro Sekunder

Nitrien makro sekunder pun tidak kurang penting. Nutrien-nutrien ni terdiri daripada Calcium (Ca), Magnesium (Mg) dan Sulphur (S). Ketiga-tiga nutrien ni diperlukan untuk perkembangan akar, bunga, biji serta buah.

Nutrien Mikro

Kategori seterusnya ialah nutrien mikro yang terdiri daripada Copper (Cu), Iron (Fe), Manganese (Mn), Molybdenum (Mo), Zinc (Zn), Boron (B), Silicon (Si), Cobalt (Co) dan Vanadium(V). Nutrien mikro diperlukan untuk menguatkan proses pembesaran, membantu pergerakan air dalam tumbuhan serta mengalakkan pertumbuhan bunga dan seterusnya buah.

 

Jadi macam tu la sedikit sebanyak huraian pasal baja. Ini baru sebahagian saja daripada topik berkenaan baja yang sangat luas. Ada beberapa lagi info tentang baja seperti baja kimia sebatian (compound), baja kimia tunggal (straight), baja kimia campuran, baja organik dan baja bio.

 

 

 

 

Posted on

Anggur Brazil (Jaboticaba)

Tanaman yang semakin mendapat tempat di Malaysia ini dipanggil dengan nama anggur Brazil/anggur pohon/anggur batang  atau  jaboticaba. Ia merupakan spesis tanaman dari keluarga Myrtaceae yang berasal dari Brazil. Buah ini juga dikenali dengan nama jabotica, giapuru, sabara,yvapuru dan hivapuru.

Ia dipanggil anggur batang kerana  bentuk dan rasa buahnya yang hampir menyamai rasa anggur. Buanya berwarna hijau ketika muda dan menjadi ungu kehitaman setelah masak. Buahnya menempel pada batang pokoknya. Isinya buanya berwarna putih.

Tumbuhan ini merupakan tumbuhan yang agak lasak. Ia bole ditanam ditanah tinggi atau renda dan tahan pada cuaca panas atau sejuk. Pertumbuhan yang optima memerlukan cahaya matahari yang cukup pada pagi dan petang. Ia boleh dibiakkan dengan kaedah semaian biji benih. Juga dengan kaedah pembiakan tampang seperti kaedah keratan batang dan tut. Pokok dari semaian biji mengambil masa antara 2 hingga 3 tahun untuk berbuah. Benih yang dihasilkan dari kaeda cantuman mata tunas atau cantuman baji biasanya mengambil masa yang lebih pendek untuk berbuah dan boleh ditanam  dalam pasu. Media untuk tanaman dalam pasu dicadang untuk menggunakan media kompos atau humus. Diameter pasu pula biarla melebihi 60cm untuk pertumbuhan yang sempurna.

 

Pembajaan  menggunakan NPK daun dan bole diberikan sebulan sekali. Baja organik juga boleh digunakan.

 

http://mintainformasi.blogspot.my/2016/02/cara-menanam-anggur-brazil-di-lahan.html

Posted on

Cara buat minyak herba

1. Mula-mula sediakan balang kaca dengan penutup kedap udara.Pastikan balang bersih dan betul-betul kering.Lap kering-kering supaya tiada setitik pun air kerana air boleh merosakkan minyak herba kita.Jangan guna balang plastik.

2. Guna herba kering. Pastikan herba yang digunakan benar-benar kering.herba yang tidak betul-betul kering akan menyebabkan minyak berkulat dan busuk. Herba yang digunakan perlu di cincang kasar sebelum dikeringkan.

3. Minyak yang boleh digunakan ialah minyak zaitun, minyak kelapa atau minyak bunga matahari.Pastikan guna minyak yang asli.Minyak kelapa boleh buat sendiri.

4. Penuhkan balang dengan herba yang telah dikeringkan dan dicincang kasar. Tuangkan minyak hingga memenuhi balang( Menutupi keseluruan herba tadi).

5. Tolak-tolak masuk herba hingga bercampur dengan minyak. Guna chopstik atau pisau senang.Pastikan semua ruang-ruang kosong dipenuhi dengan minyak.Tambahkan minyak jika masih tidak penuh.

6. Tutup balang.Goncang supaya minyak dan herba bercampur sepenuhnya.Simpan di tempat kering dan tidak terdedah pada haba di dalam rumah. Sekali sekala goncangkan. Dalam masa 3 hingga 6 minggu minyak sudah boleh digunakan.

7. Tapis minyak menggunakan kain maslin untuk membuang hampas herba.Masukkan minyak dalam botol kedap udara.
herbsoild
8.Pada suhu bilik minyak herba boleh tahan sampai 1 tahun. Untuk lebih lama, sehingga 2 tahun boleh masukkan kapsul vitamin E yang merupakan pengawet semulajadi.

Posted on

Kawalan Nyamuk Menggunakan Tumbuhan Herba

Terbaru, kita tersentak dengan isu virus Zika bawaan nyamuk Aedes yang mana pesakit pertama telah dikesan di Malaysia. Fakta dari laman web CDC menyatakan bahaya terbesar virus Zika adalah terhadap wanita mengandung. Langkah pencegahan yang disarankan termasuklah penggunaan bahan kimia untuk menghalau nyamuk (insect repellent), memakai pakaian berlengan panjang atau berseluar panjang serta mengelakkan keluar rumah pada waktu-waktu nyamuk tersebut aktif. Mungkin sudah tiba masanya kita beralih kepada tumbuhan herba sebagai langkah tambahan. Apa yang menarik ialah kaedah penggunaan tumbuhan herba adalah murah dan senang diselenggarakan. Artikel di bawah membincangkan kegunaan pokok Jeremin sebagai penghalang kemasukan nyamuk ke rumah.

jeremin

KHASIAT POKOK JEREMIN

Kali ini pembaca berpeluang mengetahui kegunaan herba JEREMIN atau nama saintifiknya Pelargonium radula dari keluarga tumbuhan geraniaceae sebagai penghalang kemasukan nyamuk ke rumah.

Kehadiran nyamuk di rumah terutama pada waktu malam sememangnya menimbulkan gangguan yang kadang-kadang mengakibatkan suasana kurang selesa, termasuk tidak boleh tidur nyenyak. Malah kebanyakan rumah yang menghadapi masalah ini terpaksa memperuntukkan belanja pembelian ubat nyamuk dalam bentuk lingkaran, semburan atau alat penghalau menggunakan tenaga elektrik.

Selain mengelakkan gangguan kepada penghuni rumah, apa saja usaha untuk menghalaunya juga bertujuan menghindari ahli keluarga daripada penyakit bawaan nyamuk terutama sakit denggi. Nyamuk akan keluar terbang berkumpulan sehingga mencecah jutaan ekor pada, waktu senja dan sebelum subuh.

Di waktu lain iaitu di luar tempoh berkenaan, nyamuk yang masih berterbangan di dalam rumah sebenarnya terperangkap selepas berjaya membolosi rumah sebelum itu. Salah satu cara yang sering diamalkan untuk mengatasi masalah gangguan nyamuk ialah menutup semua pintu dan tingkap rumah sebelum senja dan jika perlu dibuka semula selepas itu. Tetapi minggu ini, anda bolehlah cuba menguji keberkesanan herba jeremin sebagai penghalau nyamuk.

Jeremin berfungsi seperti ubat nyamuk yang mengeluarkan ban dan asap untuk menakutkan nyamuk. Pokok ini akan mengeluarkan sejenis bahan kimia berupa serbuk halus dengan ban tersendiri yang mampu mengelakkan nyamuk daripada menghampirinya. Anda cuma perlu menanam pokok jeremin di pasu dan meletakkannya di dalam rumah.

Serbuk daripada pokok ini akan dikeluar dan diterbangkan oleh angin ke serata rumah pada waktu-waktu tertentu dan bukan sepanjang masa. Pokok ini mudah dijaga kerana is tidak memerlukan terlalu banyak air sebaliknya memadai dengan siraman sekali setiap hari.

Sumber: Utusan Malaysia

Posted on

Berubat Dengan Madu

Sesungguhnya antara hikmat kebijaksanaan Allah Taala dan rahmatnya kepada manusia ialah Dia mempermudahkan bagi mereka memperoleh madu menerusi binatang lebah .
madu
Allah telah memerintahkan kepada lebah dengan firmanNya:-
 Ertinya
 ” Dan Tuhan engkau telah mewahyukan kepada lebah: ” Buatlah sarang-sarang di bukit2, di pohon2 kayu dan di rumah2 binaan manusia. Kemudian makanlah daripada setiap (macam) buah-buahan (bunga-bungaan) itu dan laluilah jalan-jalan Tuhan engkau yang telah dimudahkan (bagi engkau)Daripada perut-perutnya keluar minuman (madu) yang bermacam warnanya, didalamnya terdapat ubat yang menyembuhkan manusia”.
(An-Nahl : 68-69)
Sesungguhnya Allah telah mempermudahkan bagi binatang lebah untuk menghisap minuman (Madu)daripada beraneka bunga-bungaan sepanjang pengembaraan antara pokok ke pokok yang berlainan untuk mengumpulkan (semuanya itu) dalam manisan Madu. Dengan cara demikian, Dia mengumpulkan dalam Madu itu khasiat-khasiat binaan vitamin dan bahan2 pengubatan.
Justeru itu kedapatan Rasulullah s.a.w. bersabda:
Ertinya :
” Jika ada pada sesuatu ubat antara ubat2 kamu itu kebaikan, atau akan mewujudkan kebaikan, maka dia adalah berada pada gurisan pisau pembekam atau berada pada minuman Madu.”
(HR: Bukhari,Muslim dan Ahmad)
………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………….. Dalam peristiwa ini kesakitan orang itu amat ketara, di mana dalam perutnya terdapat keracunan. Apabila dia minum Madu, maka Madu itu akan bertindak balas dan merasa lebih sakit sementara waktu, dan akhirnya kesakitannya baru tersembuh. Kita hendaklah meyakini kekuatan madu boleh menyembuhkan dengan izin Allah. Justeru itu didapati Rasulullah s.a.w. dan lelaki itu berulang kali mengulanginya, dan demikianlah cara atau dasar perubatan.
 Rasulullah s.a.w. telah pun bersabda:-
ertinya;
” selalulah kamu berubat dengan dua penyembuhan iaitu Madu dan Al Quran.”

(HR; Ibnu Majah dan lain-lain: Mauquuf. Menurut Haithami: Sahih, diriwayat oleh org yg dipercayai- pent.)

………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………….. Manakala Abu Said Al-Khudri r.a. pula menceritakan: “Bahawa seorang lelaki telah datang menemui  Nabi s.a.w. seraya berkata :-
“Sesungguhnya saudaraku telah mengalami sakit perut ( memulas)”
maka Rasulullah s.a.w. pun bersabda:
” Berilah dia minum Madu”.
Maka lelaki itu pun memberi minum Madu kepadanya.
Kemudian dia (datang lalu) berkata:-
” Sesungguhnya saya telah beri dia minum, tetapi dia makin memulas sakit.”
Maka Rasulullah s.a.w. bersabda lagi, ” Berilah dia minum Madu (lagi).”
Lelaki tadi (pulang dan) memberi minum lagi kepada saudaranya, tetapi masih membawa berita yang sama sehingga Rasulullah s.a.w. tetap juga bersabda seperti yang pertama pada kali ke tiganya. Kemudian lelaki itu datang lagi pada kali keempat, maka Rasullulah s.a.w. masih bersabda lagi:- “Berilah dia minum (lagi).” ( Dia pulang dan datang lagi ) maka dia berkata, “Sesungguhnya saya telah memberinya minum, tetapi dia makin memulas sakit.”
(mendengar demikian) Rasulullah s.a.w. pun lalu bersabda:-
ertinya;
” Benarlah Allah dan dustalah perut saudara engkau”.
Maka lelaki tadi (pulang) memberinya minum Madu lagi, tiba-tiba (baru) dia sembuh
(HR; Bukhari, Muslim, Turmizi dan Ahmad)
Maka Madu itu adalah mengandungi unsur2 makanan yang penting, iaitu unsur (iodin) berupa bahan yang wajib untuk menyediakan hormon bagi kalenjar Ad-Daraqiyyah (perisai kulit), juga unsur (zinc) dan unsur-unsur yang dapat membantu untuk pembentukan bahan pembunuh kuman penyakit dalam kalenjar kemaluan bagi lelaki : iaitu sebagaimana juga dia berfaedah dalam mengubati penyakit2 (limpa) dan penyakit kencing manis.
Madu juga menolong untuk menyekat radang paru2 dan berguna dalam mengubati melecur (sebab terbakar) dan luka-luka (dengan cara menyapunya ke tempat sakit).
Menurut kajian terbaru, di dapati madu merupakan satu-satunya ubat penyembuh hampir bagi seluruh penyakit manusia terutama penyakit dalam perut, sakit dlm dada (sengkak, lelah, batuk, lemah jantung), darah tinggi, barah, lupa, sakit urat, selsema, kurang tenaga, penyakit mata, sakit gigi, luka, bengkak, penghilang bekas jerawat, parut luka, penyeri kulit, utk perampingan dan kesegaran (terutama dimasa menua) dan sebagainya.
Berdasarkan kenyataan ini, alangkah baiknya bagi sesebuah rumahtangga Islam selalu menyimpan dan menggunakan madu2 asli utk keperluan membina kesihatan dan kesuburan tubuh, menahan dari serangan penyakit dan dapat pula mengubati berbagai penyakit yang berhubung dengan mental (utk tenaga ingatan ) dan fizikal, apalagi bila disertai dengan ayat-ayat suci Al-Quran.
dipetik dari buku ……Ubat dan Rawatan cara Nabi s.a.w….Tariq Tantawi
Posted on

Kaduk Pelbagai Guna

Oleh Marlisa Shahrul (koleksi myherba egroup)

daun kaduk
Kaduk-piper sermentosum

 

‘Kaduk naik junjung’ merupakan antara perumpamaan yang amat terkenal dikalangan masyarakat Melayu. Ia menggambarkan sejenis pokok yang realitinya tidak pernah ‘naik junjung’ atau memanjat sebaliknya kaduk sejenis tumbuhan yang hidup melata di persekitaraan rumah dikampung-kampung.

Kaduk dikategorikan dalam keluarga sirih (piperaceace). Asalnya ditemui tumbuh melata di Tanah Besar China sebelum tersebar luas hingga ke nusantara termasuk Tanah Melayu. Walaupun kaduk antara herba yang terpinggir dan tidak dipedulikan namun ia mendapat tempat istimewa disesetengah negara di Asia Tenggara terutama di Thailand dan Vietnam dimana dikenali sebagai Lo Lap di Vietnam dan Bai Cha-Ploo di Thailand. Pokok kaduk mudah ditanam dengan menggunakan akar ataupun keratan batang dan mudah tumbuh dengan subur ditanah gembur dengan persekitaran yang redup dan teduh.Pembajaan dan penyiraman secara teratur dapat mempercepatkan lagi pokok kaduk membiak. Biarpun tergolong sebagai tumbuhan separa tropika dan tropika namun ia mampu hidup subur di negara beriklim sejuk jika diletakkan ditempat berhawa panas. Kaduk adalah tumbuhan yang hidup sepanjang tahun dan bukanlah tumbuhan bermusim.

Secara peribadi saya merasakan pokok kaduk adalah tumbuhan yang cantik dengan daun bewarna hijau pekat berkilat dan berbentuk hati.Ia mengeluarkan bunga kecil bewarna putih yang kemudiannya akan bertukar menjadi biji/buah bewarna hijau atau coklat setelah matang dan bentuknya menyerupai buah mulberi.

Kaduk telah digunakan secara meluas dengan pelbagai kegunaan bergantung kepentingannya bagi sesuatu masyarakat. Bagi masyarakat melayu kaduk sering dimakan mentah sebagai ulam pembuka selera dan bagi sesetengah penempatan kaduk dijadikan sebahagian bahan masakan seperti digulai bersama siput dan sebagainya. Masyarakat Thai pula selain dari dijadikan makanan daun kaduk digunakan sebagai pembalut untuk beberapa jenis masakan tradisional dimana pelbagai jenis bahan seperti kacang tanah,udang kering,bawang merah,halia dan limau nipis dibalut dengan daun kaduk makanan ini dikenali sebagai ‘miang kham’ iaitu sejenis makanan ringan tradisional.

Selain dijadikan pembalut makanan, daun kaduk dijadikan sebagai bahan perasa utama bagi menghilangkan rasa/bau hanyir ikan air tawar selain dari dihiris halus dan dicampur bersama nasi sebagai bahan utama dalam penyediaan ‘nasi kerabu’. Kecantikan daunnya dan aromanya menyebabkan daun kaduk sering menjadi pilihan chef/tukang masak untuk menjadikannya asas perhiasan pinggan sebelum diletakkan lauk-pauk.

Daun kaduk juga mempunyai nilai perubatan tinggi dimana digunakan secara meluas di Vietnam dan China sebagai ubat penawar pelbagai jenis penyakit.Buah kaduk pula mempunyai beberapa bahan kimia seperti alkene,prrole amide,sarmintine dan sarmentosine yang mana unsur alkene telah dibuktikan secara saintifik mempunyai kesan bagi mengecilkan selaput lendir (astrogen). Maka tidak hairanlah mengapa masyarakat melayu sering merawat penyakit batuk asma dengan meletakkan daun kaduk yang dihiris halus dan diramas-ramas ditempelkan ditengkuk,dikatakan dapat juga meredakan ‘batuk malam’ dikalangan kanak-kanak.

Bagi penduduk China, kaduk dimakan bersama nasi bagi menurunkan suhu panas semasa demam dan juga dapat merangsang pencernaan,perkara itu telah didokumenkan oleh Perry didalam bukunya ‘Medicinal Plants of East & Southest Asia’. Dikatakan juga masyarakat di China dan Vietnam merawat demam malaria dengan cara meminum air rebusan sepohon kaduk beserta akarnya 2x sehari. Di Thailand pula akarnya digunakan bagi merawat sakit gigi dan daunnya digunakan untuk merawat sakit perut.

Kaduk juga digunakan dalam perubatan tradisional masyarakat melayu dimana daunnya digunakan bagi mengubati sakit kepala,sakit pinggang dan arthritis. Pengamal perubatan melayu merawat sakit senggugut dengan cara merebus 7 kerat akar kaduk bersama 7 kerat akar daun kesum,secubit kemenyan dan 3 gelas air sejuk direbus mendidih,disejukkan,disaring dan diminum 1x sehari sebelum kedatangan haid.

Masyarakat Indonesia mengubati penyakit lelah dengan mengunyah daun kaduk seperti sirih dan menelan airnya disamping mereka percaya dengan mengamalkan minum air rebusan daun kaduk sebagai pengganti minuman teh setiap hari dapat mengekalkan kesegaran badan dan awet muda disamping dapat menyahkan bau badan yang kurang enak juga sebagai vitamin untuk menguatkan gigi,gusi dan tulang. Cara yang sering digunakan adalah dengan merebus 7 helai daun kaduk tua dengan 2 cawan air hingga mendidih dan air menjadi secawan,saring dan minum 1x sehari setiap hari.Dipercayai juga dengan meminum air rebusan daun kaduk dapat menaikkan seri wajah,maka disana anak gadis disaran meminumnya seawal umur 11 tahun lagi disamping dijadikan minuman khusus bagi bakal pengantin.

Posted on

Khasiat Keropok Belinjau

Oleh Marlisa Shahrul

(Koleksi artikel myherba egroup)

Keropok lazimnya diperbuat dari hasilan laut namun bagi masyarakat jawa, keropok dari buah melinjo (belinjau) merupakan makanan kegemaran mereka. Rasanya lemak dan sedikit pahit memang agak berbeza dengan rasa keropok ikan, udang dan sotong yang menjadi pilihan utama masyarakat Malaysia . Bukan buahnya sahaja yang boleh dibuat keropok malah hampir keseluruhan bahagian pokok belinjau mempunyai kepentingan yang tersendiri disamping mengandungi nilai pemakanan dan pengubatan yang tinggi.

Tergolong dalam famili Gnetaceace, dianggap sebagai tumbuhan primitif dari segi botani kerana termasuk dalam kelas Gymnospermae sama seperti pokok pain.Sinonim dengan panggilan Gnetum acutatum dan G.vinosum juga dikenali  sebagai melinjo, Spanish joint fir(En); voekhlaet(Cam) melinjo,belinjo,bagoe(Ins); meninjau,belinjau(Mal); hyinbyin,tanyin-ywe(Mya); bago, banago(Phi); peesae (Tha); gam cay,bet(Vie)bagi sepsis G.gnemon var gnemon dan bagi spesies G.gnemon var tenerum pula : phak miang, phak kariang, liang (Tha). Boleh didapati dalam pelbagai variety dan ditemui di hutan-hutan namun kini telah mendapat perhatian dan mula di tanam secara komersial.Pokok belinjau banyak terdapat di Terengganu dan boleh juga ditemui di Taman Hindhede di Hutan Simpanan Bukit Timah di Singapura. Banyak ditemui tumbuh meliar di Asia Tenggara dan Afrika Barat. Di Malaysia terdapat kira-kira 15 jenis spesis pokok belinjau ditemui namun dua yang paling dikenali iaitu G.gnemon var gnemon  yang mana pokok dan buahnya lebih besar dan sepsis G.gnemon var. tenerum yang lebih kecil saiznya.

Pokok belinjau merupakan pokok uniseks yg menghasilkan dua jenis jambak bunga iaitu kon jantan dan kon betina. Ketinggian pokok ini boleh mencapai sehingga 20m. Batangnya bewarna kelabu dan bercabang-cabang tidak menegak keatas, sebaliknya menjurus kebawah membentuk kon yang cantik dengan daunnya yang berbentuk bulat telur dan hujung meruncing serta melengkok kebelakang.Helaian daunnya berombak dan berkilat serta mempunyai tepi yang licin bewarna merah ketika muda dan kemudiannya bertukar warna kepada hijau tua. Bunganya tumbuh teratur bewarna merah terang dalam lingkaran pada jambak yang berbentuk kon manakala buah atau bijinya berbentuk bujur,panjang dan licin dikelilingi oleh tiga lapisan kulit.

Berdasarkan kajian yang telah dilakukan oleh para saintis, pakar permakanan dan penyelidik perubatan telah menemui daun muda pokok belinjau mengandungi pelbagai khasiat dalam merawat penyakit kulit, mata dan pencegah tumor dan kanser. Dalam 100gm daun muda pokok belinjau memberikan 7% protein,19% karbohidrat dan 11%serat disamping mengandungi vitamin dan zat galian yang amat berguna; 1,680 I.U vitamin A,121mg vitamin C dan 44mg kalsium. Di Thailand sekumpulan para penyelidik tempatan dan Jepun telah menjalankan kajian pada daun muda pokok belinjau dimana ekstrak methanol darinya dikaji keatas sel barah(in vitro) bukan pada manusia melalui Ebstein-Barr Virus ZEBV menemui keberkesanannya dalam mengurangkan risiko kanser. Terbuktilah benar dakwaan masyarakat jawa  bahawa pesan nenek moyang mereka bahawa  dengan mengamalkan makan ulam daun belinjau dapat menguatkan badan dan mencerahkan mata juga memuluskan kulit.

Selain dari berkhasiat, pokok belinjau juga mempunyai banyak kegunaan lain misalnya kulit batang pokoknya yang berserabut boleh menghasilkan sejenis benang yang dapat dijadikan tali pancing dan jala, Sementara batangnya yang keras itu pula dibuat alat perkakas dapur seperti pemarut dan tempat pemotong jug boleh dijadikan sebgi bahan binaan peti simpanan dsbg. Daunnya merupakan ulam popular diAcheh dan Indonesia selain boleh dibuat gulai. Kini kajian telah menemui bahawa bahagian batang pokok belinjau berpotensi diproses menjadi kertas yang berkualiti tinggi. Selain itu buah/biji belinjau mendatangkan hasil pendapatan bagi industri kecil dan surirumah dengan memproeskannya menjadi keropok dan emping lalu dipasarkan secara komersial.

Posted on

Pengusaha Rerama Hijau Di Bukit Mertajam

Sekitar bulan Mei 2016 yang baru lalu, saya dan isteri singgah sebentar melawat sahabat di Kubang Semang, Beliau adalah salah seorang sahabat dalam dunia perniagaan herba dan kami selalu mengikuti perkembanganya. Kami mengenali beliau sekitar 2003-04 dan ketika itu beliau aktif dalam egroup WargaKilang dan MyHerba. Encik Mohd Shukri juga adalah pengasas kepada Syarikat Ees Biotech yang kini beroperasi di Guar Perahu, Bukit Mertajam.

Kini Encik Shukri mengusahakan Guar Perahu Herbal Valley di Bukit Mertajam Pulau Pinang. Kami berkesempatan melawat Herbal Valley dan melihat sendiri perkembangannya. Saya tak pasti berapa keluasan herbal valley beliau. Tapi yg pasti ada banyak tumbuhan herba yg diusahakan di situ. Antaranya rerama hijau, pokok tin, misai kucing dan banyak lagi. Encik Shukri juga mengeluarkan produk herbanya sendiri seperti teh misai kucing dan teh daun rerama. Anda juga boleh membeli ikan telapia merah & keli pada harga yang berpatutan. 

Kami juga dibawa melihat satu lagi lokasi yg sedang dalam pembinaan. Lokasi ini terletak tak jauh dari herbal valley. Di sini Encik Shukri menumpukan kepada rerama daun hijau dan daun merah serta pokok tin. InsyAllah tempat ini akan menjadi tarikan menarik kepada peminat herba yg datang ke Pulau Pinang.

Encik Shukri boleh dihubungi di nombor hp +6019-5407859

Photo-photo Sekitar Herbal Valley

Peta Lokasi Guar Perahu Herbal Valley

Posted on

Sorotan Literatur Mengenai Inai

Menurut kamus Bahasa Arab, al-Hinna’ bermaksud sejenis tumbuhan yang ma’aruf (dikenali ramai). Pokok inai mempunyai daun seakan-akan daun delima. Ia mengeluarkan bunga putih seperti pokok anggur dan daripada daunnya boleh mengeluarkan warna merah sebagai pewarna (khidab).

Memfokuskan manfaat inai, ia mempunyai warna terang (merah cerah api), digemari, membangkitkan daya cinta kasih dan berbau wangi. Inai berguna untuk menyembuhkan luka-luka pada mulut atau bengkak-bengkak. Air daunnya berguna untuk memulihkan bahagian anggota yang melecur11 atau terkena kulat air pada celah-celah jari kaki atau tangan. Ia merupakan pencelup yang boleh memerah dan memperelokkan rambut serta menguatkan kuku.

Berdasarkan penelitian, terdapat banyak hadith tentang inai memfokuskan manfaatnya sebagai pewarna rambut, menyembuhkan luka dan sakit kepala. Dalam satu hadith mengenai inai; Terjemahan: Dari Abu Dhar RA, dari Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya yang terbaik untuk mengubah (mewarnakan) uban dengannya ialah inai dan katam (sejenis dengan inai).”

Berkenaan al-Katam, al-Fayyumi mengatakan bahawa dalam kitab al- Lisan dan kitab-kitab perubatan, al-Katam ( ) merupakan satu jenis tanaman gunung yang terdapat di daerah Yaman. Ia mengeluarkan warna hitam kemerahan. Disebutkan di dalam kitab „Awn al-Ma‟bud, mewarnakan rambut dan janggut dengan gabungan kedua-duanya (inai dan katam) akan mengeluarkan warna di antara hitam dan merah. Inilah yang menjadi amalan Abu Bakar RA yang sering melakukan khidab dengan gabungan inai dan katam sepertimana hadith;
Terjemahan: Dari Thabit berkata: Anas Ibn Malik telah ditanya adakah Rasullullah SAW mewarnakan rambutnya (melakukan khidab)? Dia menjawab: “Sekiranya saya mahu mengira jumlah uban yang berada di rambut Nabi SAW, sudah tentu aku boleh lakukan. Dia berkata lagi: Rasullullah SAW tidak mewarnakannya. (Manakala) Abu Bakar pernah berkhidab dengan inai dan katam dan ‘Umar dengan inai sahaja (secara berasingan).” Istilah “khidab” dalam hadith di atas membawa maksud mengubah (mewarnakan) rambut yang ada di atas kepala dan janggut. Merujuk definisi al- Khidab di dalam al-Qamus dan al-Fath, ia memberi maksud yang sama iaitu mengubah uban yang terdapat di kepala dan janggut.

Dalam mengulas bab keizinan mengamalkan al-Khidab, al-Fayyumi mengatakan salah satu cara untuk khidab ialah dengan inai (hinna‟) dan seumpamanya. Ibn Manzur pula menyatakan khidab ialah mengubah (mewarnakan) dengan menggunakan inai, katam (tumbuhan sejenis dengan inai) dan seumpama. Apabila melakukan khidab, warna (pada anggota badan) akan berubah kepada kemerahan, kuning atau seumpamanya. Setiap warna anggota yang berubah dipanggil makhdub. Al- Sahili menyebutkan „Abd al-Mutalib merupakan orang pertama yang berkhidab dengan warna hitam dari kalangan masyarakat Arab.
Dalam hadith yang lain; Terjemahan: Dari „Ali Ibn „Ubaydillah, dari datuknya, Salmi yang pernah melayani Nabi SAW berkata: “Apabila Rasullullah SAW luka atau tertusuk duri, maka baginda SAW memerintahku untuk meletakkan inai di atas luka tersebut. Terjemahan: Telah diceritakan kepada kami Fa‟id hamba „Ubaidillah Ibn „Ali Ibn Abi Rafi‟, dari tuannya, „Ubaidillah Ibn „Ali Ibn Abi Rafi‟, dari datuknya Salmi, khadam Rasullullah SAW katanya: “Jika ada seseorang mengeluh kepada Rasullullah SAW akan sakit kepala yang menimpanya. Maka Baginda SAW bersabda kepada orang itu, “Berbekamlah! Dan jika ada orang yang mengeluh kepada Baginda SAW tentang sakit pada kedua belah kakinya. Maka Baginda SAW bersabda kepada orang itu. Balutlah dengan inai.”

Berdasarkan pandangan ulama‟, penggunaan inai oleh Nabi SAW untuk diletakkan di atas luka adalah bermanfaat kerana inai bersifat sejuk (bertindak sebagai agen penyejuk) yang membantu melegakan sakit. Inai boleh digunakan untuk menyembuhkan luka, luka terbakar dan kudis di sekeliling kuku. Caranya ialah dengan membersihkan daun terlebih dahulu, kemudian menumbuk daun tersebut sehingga hancur. Selepas itu sapukan ramuan daun tersebut pada tempat yang sakit. Selain itu, disebutkan juga oleh Ibn Qayyim dalam kitabnya bahawa Ibn Majah meriwayatkan dalam sunan-Nya sebuah hadith: “Ketika Nabi SAW menderita sakit kepala, beliau membungkus kepalanya dengan inai dan berkata: “Ini akan menyembuhkan sakit kepala dengan izin Allah SWT”. Rawatan dengan inai yang disebutkan dalam hadith tadi merupakan salah satu cara rawatan sakit kepala. Sakit kepala yang disebabkan oleh hawa panas yang menyengat, maka inai boleh membantu meredakannya. Caranya adalah dengan ditumbuk halus lalu dicampur dengan cuka dan dilekatkan di dahi. Dengan cara ini, sakit kepala akan sembuh.

Diriwayatkan bahawa seorang lelaki pernah menderita masalah kuku jarinya yang pecah-pecah. Dia pun menawarkan hadiah wang kepada sesiapa sahaja yang dapat mengubati penyakitnya. Akan tetapi, tiada yang berjaya menyembuhkannya. Seorang wanita lalu memberinya preskripsi agar meminum air rebusan inai selama 10 hari, akan tetapi lelaki tersebut tidak berani melakukannya. Setelah puas berikhtiar dan tidak berjaya, lelaki itu pun mengamalkan petua wanita tersebut. Setelah itu, jarinya mulai sembuh. Di samping itu, inai juga boleh menenangkan saraf jika digunakan sebagai pembalut. Inai tidak hanya berguna bagi sakit kepala sahaja bahkan praktikal untuk mengubati beberapa organ tubuh, bengkak dan radang yang muncul di permukaan kulit dengan cara dibalut dengan inai dan cuka. Radang selaput mukosa pada mulut kanak-kanak juga merupakan salah satu penyakit yang boleh disembuhkan dengan inai. Selain itu, inai boleh dijadikan krim untuk menghalus dan menguatkan jari. Inai membantu mengubati kudis kronik, menyubur dan menguatkan rambut. Inai juga boleh mengubati lepuh dan bisul pada kaki atau bahagian tubuh lain. Dalam Islam, harus berubat dengan inai bagi sesiapa yang mempunyai luka, bisul, terkena duri dan seumpama. Aplikasi hadith tersebut turut meliputi kaedah perubatan bagi lelaki dan perempuan. Kaum lelaki perlu berpada dalam berkhidab (mewarnakan) tapak tangan atau kaki yang sakit supaya tidak berlebihan sehingga menyerupai kaum perempuan.

Berdasarkan perbincangan inai menurut perspektif hadith dan perubatan Islam di atas, jelas memberikan gambaran awal mengenai manfaat-manfaat inai. Namun begitu, realiti yang terjadi di Malaysia jelas kontra dengan ketinggian darjat yang dimiliki oleh inai. Inai dianggap sebagai tumbuhan yang tidak berharga disebabkan tidak bernilai komersial.

Petikan dari : PENYELIDIKAN TENTANG MAKANAN PERSPEKTIF NABAWI DAN SAINTIFIK Oleh: Jabatan al-Quran dan al-Hadith Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya